KANGAR – Universiti Malaysia Perlis (Unimap) melakar sejarah apabila buat pertama kalinya selepas 17 tahun penubuhannya, berjaya menempatkan diri dalam kelompok 701-750 universiti terbaik dunia berdasarkan senarai terbaharu 2020 seperti yang diumumkan Quacquarelli Symonds (QS) World University Rankings 2020, hari ini.
Berdasarkan laporan itu juga, Unimap turut dicatatkan sebagai satu daripada dua universiti dalam kalangan Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) yang disenaraikan sebagai 1,000 buah universiti terbaik dunia.
Selain Unimap, Universiti Malaysia Pahang (UMP) berada pada kedudukan 751-800 terbaik.
Naib Canselor Unimap, Prof. Ir. Ts. Dr. R Badlishah Ahmad berkata, kesemua kejayaan itu merupakan pencapaian terbaik Unimap dan ia selaras dengan sasaran yang terkandung dalam Pelan Strategik Unimap 2015-2020 iaitu untuk berada dalam kelompok universiti terbaik dunia pada 2020.
“Kita menyedari persaingan yang sengit dalam kalangan universiti-universiti terutama yang berusia lebih 20 tahun untuk menempatkan diri dalam kelompok universiti terbaik dunia dan kejayaan menjadi antara 20 buah universiti di Malaysia yang tersenarai pada tahun ini adalah sesuatu yang sewajarnya dibanggakan.
“Pencapaian ini adalah cerminan tahap komitmen dan dedikasi warga kerja universiti dalam meletakkan fokus terhadap hasil produktiviti warga kerjanya secara menyeluruh semenjak ditubuhkan pada 2002.
“Ini termasuklah pengajaran yang cemerlang, penyelidikan yang berimpak serta usahasama industri, terutama dalam menghasilkan graduan yang memenuhi keperluan industri dan menyumbang kepada pembangunan negara,” ujarnya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
QS World University Rankings 2020 menilai lebih 1,600 universiti utama dunia berdasarkan enam petunjuk iaitu reputasi akademik, reputasi majikan, nisbah pelajar fakulti, rujukan setiap fakulti, pelajar antarabangsa dan fakulti antarabangsa.
Unimap sebelum ini telah berjaya mendapat pengiktirafan lima bintang dalam Penarafan Bintang (QS Stars Rating) selain turut berjaya tersenarai pada kedudukan ke-201 terbaik di Asia berdasarkan QS Asia Rankings.
Mengulas lanjut, R. Badlishah berkata, berdasarkan laporan QS World University Rankings 2020 itu juga, Unimap telah diberi klasifikasi yang tinggi dalam elemen Kajian Keamatan (research intensity) dengan pengiktirafan sebagai universiti pakar.
Katanya, manakala petunjuk rujukan pelajar fakulti pula merupakan kekuatan utama bagi universiti itu apabila menduduki kedudukan ke-271 dunia.
“Meskipun dikategorikan sebagai universiti muda, pelbagai pencapaian Unimap sehingga ke tahap yang membanggakan ini adalah hasil daripada tumpuan universiti terhadap kriteria kecemerlangan dunia di persada antarabangsa,” kata beliau lagi.
Sebagai langkah ke hadapan, ujar R. Badlishah, Unimap akan terus berusaha untuk memperkasakan pelajar dengan pelbagai kemahiran penting yang diperlukan untuk mereka berjaya dalam pembelajaran dan dapat memasuki dunia industri dengan jayanya.
“Selain itu, Unimap juga akan menetapkan matlamat-matlamat baharu terutama dalam memastikan tenaga akademik yang ada, dapat mengimbangi antara penyelidikan, pengajaran dan kerjasama dengan industri yang berkaitan untuk memastikan negara mendapat manfaat.
“Kejayaan Unimap dalam QS World University Rankings ini diharap akan membuka ruang untuk universiti menjalinkan kerjasama dengan rakan-rakan strategik dalam kalangan universiti dan industri dunia yang boleh disifatkan sebagai usaha penanda aras amalan universiti yang telah berjaya,” ujarnya lagi.
Beliau seterusnya turut merakamkan ucapan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada bekas Naib Canselor Unimap, Profesor Emeritus Datuk Dr. Kamarudin Hussin yang memulakan inisiatif QS ini serta dan Prof Datuk Dr. Zul Azhar Zahid Jamal atas kesinambungan kepimpinan yang menyumbang kepada kejayaan ini. – UTUSAN ONLINE











