JEMPOL – Tidak ada sebarang faedah yang dapat dicapai sekiranya para pemimpin dan ahli UMNO berbalah sesama sendiri terutamanya ketika parti itu bukan lagi kerajaan yang memerintah.
Ketua UMNO Bahagian Jempol, Datuk Mohd. Salim Sharif berkata, situasi ketika ini menuntut komitmen yang amat tinggi daripada setiap ahli dalam meneruskan perjuangan parti itu.
“Tidak ada cara lain melainkan mengukuhkan perpaduan sesama ahli dan semua pihak yang ingin bersama dalam perjuangan ini.
“Saya amat gembira kerana UMNO bahagian ini kini bersatu padu dan meletakkan kepentingan parti di hadapan serta siap sedia menghadapi pilihan raya umum akan datang,” katanya dalam ucapan dalam majlis perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Jempol di sebuah hotel di Bahau dekat sini hari ini.
Majlis itu telah dirasmikan oleh Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid.
Lebih 500 perwakilan dari 62 cawangan UMNO bahagian itu hadir dalam persidangan kali ini.
Majlis perasmian itu memberi makna yang lebih besar apabila turut dihadiri para pemimpin Pas yang diketuai oleh Yang Dipertua Pas Kawasan Jempol, Mohd. Fairuz Mohd. Isa. – UTUSAN ONLINE











