KUALA LUMPUR – Cadangan yang mahu menyingkirkan keahlian UMNO terhadap mereka yang didapati bersalah dalam kes rasuah atau jenayah telah digugurkan.
Perkara itu dimaklumkan oleh Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam yang menyambut baik perkara tersebut.
Katanya lagi, cadangan awal untuk membawa kes disiplin yang berkaitan dengan soal kewangan untuk disiasat lanjut serta pendakwaan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga telah digugurkan.
“Cadangan agar sesiapa yang didapati bersalah dalam kes rasuah atau jenayah dan sudah selesai rayuan di peringkat tertinggi tetapi masih didapati bersalah, dilucutkan keahlian secara automatik telah digugurkan daripada cadangan.
“Saya ucap terima kasih kepada Jawatankuasa Pindaan Perlembagaan yang telah mengeluarkan cadangan yang boleh mengundang perpecahan dalam kalangan ahli UMNO,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau juga memaklumkan bantahan yang dibuatnya banyak telah diterima sebelum dibahaskan oleh Majlis Tertinggi.
“Kertas Cadangan Pindaan Perlembagaan hari ini sudahpun meletakkan Islam sebagai asas tujuan mengatasi Perlembagaan Persekutuan, kedudukan raja-raja Melayu dan keistimewaan Melayu,” katanya.
Sebelum ini timbul dakwaan liar kononnya UMNO mahu menggugurkan ahlinya yang didakwa di mahkamah menerusi pindaan Perlembagaan parti. – UTUSAN ONLINE











