KUALA LUMPUR – Universiti Malaya (UM) kekal sebagai universiti nombor satu negara apabila berjaya melonjak kedudukannya ke-70 menerusi penarafan Quacquarelli Symonds (QS) World University Rankings 2020.
UM mendapat skor keseluruhan sebanyak 67.1 peratus, meningkat 7.2 peratus berbanding tahun lalu.
Naib Canselornya, Datuk Ir. Dr. Abdul Rahim Hashim berkata, pencapaian itu menunjukkan universiti berkenaan melonjak naik 17 anak tangga sekali gus menunjukkan pengiktirafan UM sebagai sebuah universiti bertaraf dunia dalam pengajaran dan pembelajaran, penyelidikan, inovasi dan pengantarabangsaan.
“Matlamat kami sentiasa untuk menjadikan UM sebagai penanda aras universiti cemerlang dunia dengan meningkatkan standard pendidikan tinggi di Malaysia.
“Pencapaian ini juga selari dengan misi universiti untuk diiktiraf sebagai institusi rujukan antarabangsa dalam pengajaran dan pembelajaran tinggi, penyelidikan, penerbitan dan inovasi,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Sejak 2014, UM menunjukkan peningkatan pencapaian konsisten setelah kedudukan ke-97 dengan melakukan pelan strategik universiti.
Katanya, UM berjaya mengekalkan trajektorinya dalam keadaan cabaran fiskal dan memperkukuhkan sokongan kewangan daripada kerajaan bagi mencapai kecemerlangan.
“Meningkatkan pelaburan akan membolehkan universiti untuk memperluaskan kerjasama antarabangsa, memperkukuhkan penyelidikan strategik dan pakatan industri. Meningkatkan kebolehpasaran graduan juga merupakan keutamaan universiti,” katanya.
Menurut Abdul Rahim, UM juga merancang untuk memperluaskan kumpulan bakat dengan kakitangan tempatan dan antarabangsa.
QR World University Rankings 2020 diukur menggunakan enam metrik untuk menentukan sistem penarafannya iaitu 40 peratus untuk reputasi akademik, reputasi majikan (10 peratus), nisbah pelajar kepada fakulti (20 peratus), rujukan untuk setiap fakulti (20 peratus), nisbah fakulti antarabangsa (lima peratus) dan nisbah pelajar antarabangsa sebanyak lima peratus. – UTUSAN ONLINE











