UEM Edgenta belanja RM20 juta beli kenderaan mekanisasi - Utusan Malaysia

UEM Edgenta belanja RM20 juta beli kenderaan mekanisasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 19 Jun – UEM Edgenta Bhd., melalui bahagian lebuh raya dan penyelenggaraan jalan, Edgenta Infrastructure Services telah melabur kira-kira RM20 juta dalam kenderaan mekanisasi baharu bagi melonjakkan lagi kecemerlangan operasi termasuk untuk memodenkan penawaran perkhidmatan dan penyampaiannya.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Azmir Merican berkata kenderaan tersebut merangkumi jentera pemotong rumput, 10 unit penyapu jalan mekanikal, kenderaan perlindungan impak dan jentera pemotong rumput automatik kawalan jauh.

“Setiap jentera bertujuan bukan sahaja untuk memberi kecekapan proses kerja, tetapi mampu meningkat lagi keselamatan pengguna lebuh raya,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Memuatkan artikel berkaitan…

Beliau berkata demikian selepas melancarkan majlis permodenan kenderaan serta pemeteraian Memorandum Persafahaman (MoU) dengan tiga pihak membabitkan UEM Edgenta, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia, yang telah disaksikan oleh Menteri Kerja Raya Baru Bian.

UEM Edgenta merupakan sebuah syarikat penyelesaian infrastruktur dan pengurusan aset yang terkemuka.

MoU itu bertujuan untuk mewujudkan piawaian industri baharu yang memberi tumpuan kepada persekitaran kerja yang lebih selamat bagi pekerja penyelenggaraan lebuh raya serta untuk melindungi keselamatan pengguna jalan raya.

“Setiap satu penandatangan MoU akan menyumbang kepada kerjasama itu berdasarkan kepada kepakaran masing-masing yang merangkumi operasi serta latihan, dan apabila digabungkan akan memberikan kesan positif termasuk memajukan lagi standard keselamatan lebuh raya,” katanya.

Ketua Pegawai Operasi UEM Edgenta Graeme Walwyn berkata kesemua jentera telah diuji dan akan digunakan esok memandangkan syarikat berkenaan telah pun menerima kelulusan daripada LLM.

“Sebagai pakar dalam penyelenggaraan lebuh raya, UEM Edgenta akan terus mengorak langkah dalam penggunaan inovasi dan teknologi.

“Penawaran perkhidmatan secara automasi dan mekanikal adalah janji UEM Edgenta untuk meningkatkan keselamatan dan kecekapan, ia adalah sejajar dengan dasar negara bagi Industri 4.0,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah LLM Datuk Aziz Abdullah berkata, kos penyelenggaraan jalan raya di Malaysia boleh dikurangkan kira-kira 10 peratus melalui penggunaan jentera tersebut.

“Pada masa ini, kos penyelenggaraan lebuh raya untuk seluruh negara berjumlah sebanyak RM2 bilion setahun,” katanya. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini