JOHOR BAHRU – UDA Holdings Berhad (UDA) terus bertahan dalam industri pembangunan hartanah selama 48 tahun di seluruh negara meskipun dalam persekitaran ekonomi mencabar dan sukar diramal ketika ini.
Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Pengurusan Aset UDA, Datuk Ahmad Tajuddin Mohamed berkata, syarikat itu kekal kompetitif dalam pasaran kerana sentiasa mengkaji dan bergerak seiring dengan peredaran zaman.
“Melihat kepada pencapaian ini, UDA terus mengatur strategi agar dapat meningkatkan lagi prestasi UDA pada masa depan,” katanya ketika berucap dalam Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri anjuran anak syarikat, UDA Land South Sdn. Bhd. di Angsana Johor Bahru Mall di sini hari ini.
Yang turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Komunikasi dan Multimedia negeri, Dzulkefly Ahmad; Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dr. S. Ramakrishnan; Pemangku Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif UDA, Zahrin Zakaria serta Ahli Lembaga Pengarah UDA Holdings Berhad, Ar. Mohamad Subki Ahmad.
UDA merupakan satu organisasi pembangunan hartanah dan pengurusan aset yang mapan dan berdaya saing di negara ini sejak 1971.
Aktiviti utama syarikat tersebut antaranya pembangunan hartanah, pengurusan harta dan pengurusan fasiliti, kompleks beli-belah serta industri hospitaliti.
Syarikat itu telah bertapak kukuh dalam membentuk dan memodenkan Kuala Lumpur, Lembang Klang, Selangor dan bandar utama lain di Malaysia.
Sementara itu, Ahmad Tajuddin berkata, dalam memastikan Angsana Johor Bahru Mall kekal sebagai destinasi pilihan pengunjung, kajian berterusan sentiasa dilaksanakan pihak pengurusan dan UDA Angsana Sdn. Bhd supaya terus kompetitif di pasaran dalam dan luar negara khususnya Singapura.
Tahun ini katanya, merupakan ulang tahun ke-22 Angsana Johor Bahru Mall dan sepanjang beroperasi pelbagai cabaran dilalui tahun demi tahun.
Walau bagaimanapun kata beliau, Angsana Johor Bahru Mall kekal dan mampu mengekalkan diri di pasaran Johor yang semakin mencabar.
“Mulai tahun 2005 sehingga kini kadar penghunian tetap utuh melebihi daripada 95 peratus manakala kadar penghunian bumiputera pula kekal sebanyak 60 peratus,” katanya. – UTUSAN ONLINE











