Turunkan had umur mengundi, tambah 3.5 juta pengundi baharu - Utusan Malaysia

Turunkan had umur mengundi, tambah 3.5 juta pengundi baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) menganggarkan seramai 3.5 juta pengundi baharu mampu ditambah menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) seandainya usul menurunkan had umur mengundi daripada 21 tahun ke 18 tahun diluluskan di Parlimen pada Julai ini.

Gabungan itu malah berpandangan usaha berkenaan berpotensi menambahkan lagi bilangan pengundi sebanyak tujuh juta orang, memandangkan kini sudah terdapat sekitar empat juta pengundi yang layak tetapi masih belum berdaftar.

“Jawatankuasa Bersih 2.0 mengalu-alukan pengumuman Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Azizan Harun bahawa usul tersebut akan dibentangkan pada 4 Julai ini dalam sidang Dewan Rakyat.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Bagi Bersih 2.0 ini adalah berita baik kerana usul ini adalah antara cadangan kami sejak dari tahun 2008 lagi.

“Memandangkan usul memerlukan pindaan Perkara 119 (1) Perlembagaan Persekutuan yang memerlukan sokongan majoriti dua pertiga, Bersih 2.0 menyeru semua parti di Dewan Rakyat menyokong usul ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagi Bersih 2.0 lagi, langkah setiap wakil rakyat menyokong langkah ini adalah satu pengiktirafan bahawa anak muda penting dalam proses politik pilihan raya serta pandangan dan kehendak mereka mustahak untuk pembinaan negara.

“Sangat sedikit negara di dunia ini yang masih mengekalkan umur 21 untuk layak mengundi. Dengan menurunkan had umur, Malaysia akan menyertai banyak negara lain telah mengiktiraf umur 18 tahun sebagai umur seseorang itu dianggap matang berkahwin, memandu kereta dan dihukum jenayah sebagai dewasa.

“Oleh itu adalah pelik untuk menafikan mereka yang berumur 18 tahun hak untuk mengundi,” katanya.

Jelas gabungan itu lagi, kebimbangan terhadap daya pemikiran dan kesedaran politik tidak harus dihadkan kepada mereka yang berumur 18 sahaja kerana umur semata-mata bukan menentukan tahap kematangan seseorang.

Namun antara cabaran yang wujud adalah untuk mendaftar pengundi yang layak.

“Bersih 2.0 mencadangkan pelajar yang berumur 18 tahun dan ke atas diberikan borang daftar pemilih sebagai sebahagian daripada proses kemasukan mereka ke kolej,” jelas gabungan tersebut.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini