KUALA LUMPUR – Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak mahu menganggap buku manuskrip ‘Mengapa Anwar Tak Boleh Jadi PM’ yang ditulis oleh Yahaya Ismail sebagai sesuatu yang serius termasuk untuk mempercayai salah satu bab mempromosi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai Perdana Menteri.
Jelas Anwar, Yahaya dikenali sebagai seorang penulis upahan malah buku-bukunya yang diterbitkan sebelum ini tidak dibincangkan malah tidak juga diulas oleh mana-mana pihak.
“Dia dikenali sebagai penulis upahan dan saya tidak percaya tulisannya malah buku-bukunya adalah ditaja malah tidak pernah dibincangkan dan diangkat di peringkat arus perdana oleh media mahupun diulas.
“Saya serahkan perkara ini kepada Johari Abdul dan biarkan pihak berkuasa menyiasat namun saya tegaskan budaya politik jijik seperti memeras ugut tidak boleh diterima,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat PKR di ibu pejabat parti tersebut di Petaling Jaya dekat sini hari ini.
Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul baru-baru ini mendedahkan menerima sebuah manuskrip buku bertajuk ‘Mengapa Anwar Tak Boleh Jadi PM’.
Jelas Johari, beliau menerima manuskrip buku tersebut pada 10 Jun lalu daripada seorang penulis bernama Yahaya Ismail yang difahamkan merupakan seorang penulis upahan.
Tambahnya lagi, beliau telah membuat laporan polis ekoran penulis itu telah melakukan peras ugut untuk menerbitkan manuskrip buku berkenaan. – UTUSAN ONLINE.











