LUMUT – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Perak menahan sebuah bot nelayan Indonesia yang menceroboh perairan Pulau Jarak dekat sini semalam.
Pengarah Maritim Malaysia negeri, Kapten Wan Mat Wan Abdullah berkata, tujuh awak-awak termasuk tekong warga Indonesia ditahan ketika sedang menangkap ikan kira-kira 28 batu nautika dari tenggara Pulau Jarak pada pukul 8.40 pagi.
Menurutnya, bot berkenaan dikesan oleh bot ronda Maritim Malaysia ketika sedang melakukan rondaan dan penguatkuasaan di perairan negeri Perak.
“Ketika pemeriksaan, tekong gagal mengemukakan dokumen berkaitan bot dan kesemua enam awak–awak tiada pengenalan diri yang sah.
“Bot bersama tekong dan awak–awak yang berusia antara 20 tahun hingga 46 tahun yang ditahan kemudiannya diiringi balik ke Pusat Tahanan Vesel Kampung Acheh untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, kes akan disiasat dibawah seksyen 15 (1) (a) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan dalam perairan Malaysia.
“Pihak Maritim Malaysia akan bertindak tegas terhadap mana-mana bot nelayan yang melanggar syarat lesen menangkap ikan dan melakukan pencerobohan di zon tangkapan ikan,” katanya. – UTUSAN ONLINE











