WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengkritik tindakan bintang bola sepak wanita mereka, Megan Rapinoe kerana tidak menyanyikan lagu kebangsaan semasa aksi Piala Dunia di Paris.
Rapinoe yang menjaringkan dua penalti ketika AS menundukkan Sepanyol 2-1 dalam aksi 16 pasukan terbaik di Reims akan berdepan Perancis, Jumaat ini.
Bagaimanapun, tindakannya untuk tidak menyanyikan lagu kebangsaan menarik perhatian Trump namun tindakan itu adalah membuktikan sokongannya kepada bekas bintang NFL, Colin Kaepernick yang melutut dengan sebelah kaki semasa lagu kebangsaan dimainkan sebagai tanda ketidak seimbangan sosial di AS.
Pada 2016, Rapinoe pernah melutut dengan sebelah kaki sebelum berlangsungnya perlawanan dan Persekutuan Bolasepak AS kemudian membuat peraturan yang menuntut semua pemain berdiri semasa lagu kebangsaan dimainkan.
Rapinoe bagaimanapun mengambil tindakan berbeza di Perancis bagi menunjukkan tanda protes.
Akhbar AS, The Hill bertanya kepada Trumpa sama ada tindakan Rapinoe itu adalah sesuai dan Presiden AS itu menjawab: “Tidak. Saya tidak fikir begitu.”
Mengulas mengenai tindakan melutut dengan sebelah kaki pada 2016, Rapinoe berkata: “Sebagai rakyat yang moden, saya tahu faham perasaan apabila melihat bendera negara kami dan ia sama sekali tidak melindungi kebebasan kami.
“Ini adalah sumbangan kecil saya dan saya merancang untuk terus melakukannya pada masa akan datang bagi memastikan semua faham dengan maksud yang cuba saya sampaikan,” katanya.
Trump turut ditanya kemungkinan untuk pemain bola sepak lelaki dan wanita menerima bayaran yang sama.
“Saya rasa perkara itu berkait dengan ekonomi.
“Maksud saya, siapa yang memberi dan dari mana ia datang. Saya faham apabila awak memiliki bintang seperti Cristiano Ronaldo yang menerima gaji yang besar dan ia menarik perhatian ramai.
“Tetapi saya tidak berada dalam posisi itu. Saya perlu lihat perkara ini,” kata Trump.-AGENSI











