Wiranita Perkasa merujuk kepada prosiding inkues kes kematian anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd. Kassim.
Syazlin Mansor sebagai peguam rasmi yang mewakili Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) terpaksa menarik diri daripada inkues itu berikutan arahan Peguam Negara Tommy Thomas.
Peguam Negara berkata bahawa keputusan itu dilakukan kerana bimbang berlaku konflik kepentingan memandangkan Syazlin juga mewakili keluarga Allahyarham dan Thomas juga berkata pendirian diambil Syazlin sering bercanggah dengan Timbalan Pendakwa Raya.
Wiranita Perkasa juga hairan bagaimana afidavit yang difailkan Pejabat Peguam Negara menjelaskan kematian Muhammad Adib bukan kerana dipukul oleh mana-mana pihak sedangkan prosiding inkues masih belum selesai.
Kenapa Peguam Negara mendahului inkues yang sedang berjalan dan belum lagi membuat sebarang ketetapan?
Wiranita Perkasa mendesak agar Peguam Negara, Tommy Thomas meletak jawatan jika benar kerajaan Pakatan Harapan (PH) menegakkan keadilan dan menjunjung tinggi kedaulatan undang-undang.
Ini adalah kerana Peguam Negara cuba campur tangan dalam inkues kematian Muhammad Adib dan terlibat secara langsung sedangkan sepatutnya beliau bersifat berkecuali.
Wiranita Perkasa juga sekali lagi meminta semua umat Islam agar dapat menganjurkan sembahyang hajat seluruh negara bagi menuntut keadilan terhadap kematian Allahyarham Muhammad Adib Mohd. Kassim.
Wiranita Perkasa memandang serius dakwaan Syazlin yang mewakili keluarga Adib mengenai campur tangan Tommy dalam prosiding inkues kes kematian Muhammad Adib.
Syazlin mendakwa campur tangan itu bermula selepas dia membawa saksi pakar memberi keterangan bahawa Adib mungkin diserang semasa rusuhan kuil Seafield pada November 2018.
Bayangkan, apa yang berlaku jika ada orang bukan Melayu iaitu Cina dan India yang meninggal dunia. Pastinya akan riuh sekampung!
Wiranita Perkasa juga memandang serius tentang keengganan pihak Kuil Sri Maha Mariamman yang masih ingkar dengan perintah mahkamah untuk memindahkan kuil tersebut walaupun telah menerima pampasan sebanyak RM1.5 juta.
Harus di ingat, kuil ini menjadi satu kontroversi ekoran rusuhan kaum tahun lalu.
Sementara itu, Wiranita Perkasa memandang serius tentang isu Ahmad Soffian Mohd. Shariff, bekas Setiausaha Akhbar Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin yang melepaskan jawatannya susulan hilang kepercayaan terhadap kerajaan sedia ada hari ini.
Ahmad Soffian dilaporkan berkata, bahawa keputusan kerajaan untuk menggugurkan isterinya, Syazlin daripada inkues Allahyarham Muhammad Adib juga mempengaruhi keputusannya untuk melepaskan jawatannya.
Dalam konteks yang lain, katanya, PH tidak menunaikan janji-janji manifestonya dan juga gagal mencari penyelesaian mengenai cara menangani pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
Oleh yang demikian, Wiranita Perkasa sekali lagi mendesak kerajaan supaya menubuhkan Suruhanjaya Diraja (RCI) untuk menyiasat kes kematian Allahyarham Muhammad Adib. Kami juga menuntut RCI demi keadilan dan juga mengembalikan kepercayaan rakyat.
Kerajaan patut melantik mereka yang benar-benar pakar dan layak untuk mengendalikan RCI ini.-UTUSAN ONLINE
Foziah Nawawi
Ketua Wiranita Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa)
*Penafian: Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak mencerminkan pendirian Utusan.











