KUALA LUMPUR – Tenaga Nasional Berhad (TNB) hari ini mengumumkan pelantikan Shahazwan Harris sebagai Ketua Pegawai Antarabangsa (CIO) untuk memimpin International Asset Group (IAG) berkuat kuasa 1 Julai 2019
Menurut Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Amir Hamzah Azizan, penglibatan Shahazwan dalam pelbagai sektor seperti tenaga, telekomunikasi, teknologi, utiliti, penerbangan, pembangunan mapan (termasuk tenaga boleh diperbaharui), minyak dan gas serta penjagaan kesihatan amat bernilai kepada strategi jangka panjang TNB untuk menjadi antara 10 Utiliti Global teratas pada 2025.
“Pengurusan TNB yakin pengetahuan, pengalaman dan pendedahan yang diperolehi Shahazwan mampu mendukung pertumbuhan masa depan perniagaan IAG,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
IAG adalah bahagian baharu TNB yang akan mengembangkan prospek pertumbuhan usaha sama luar negara syarikat.
Penglibatan antarabangsa TNB ketika ini merangkumi pemilikan ekuiti dalam aset berkaitan tenaga di United Kingdom, Turki, India, Arab Saudi dan Pakistan.
Shahazwan ketika ini berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Strategi dan Transformasi di UEM Edgenta Berhad, sebuah syarikat tersenarai di Bursa Malaysia.
Beliau mempunyai 23 tahun pengalaman dalam bidang pelaburan, penggabungan dan pengambilalihan, portfolio dan pengurusan aset, serta strategi dan penstrukturan korporat semula.
Shahazwan merupakan penerima biasiswa TNB dan pernah berkhidmat bersama syarikat selama empat tahun sejak 1996. Beliau kemudiannya bekerja di PA Consulting Group, Boston Consulting Group dan Khazanah Nasional Berhad. Kerjaya beliau di Khazanah (dari tahun 2005 hingga 2016), merentasi benua Asia dan Eropah.
Selepas Khazanah, beliau menyertai lembaga pengarah Cenviro, Opus International Consultants Limited (yang disenaraikan di Bursa Saham New Zealand) dan UEM Edgenta Berhad; selain menjadi penasihat kepada Bain & Co (Kuala Lumpur/Asia Tenggara) dan Temasek International (mengenai kemapanan dan pelaburan berimpak).
Ketika ini Shahazwan merupakan seorang ahli lembaga pengarah UMW Holdings Berhad dan juga ahli jawatankuasa penasihat StashAway, sebuah platfom penasihat robo di Singapura dan Malaysia. – UTUSAN ONLINE











