KUALA LUMPUR – Titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang mahu kesatuan dalam kalangan institusi agama terus kukuh bagi menepis tekanan pihak mahu menegakkan hak asasi manusia yang bertentangan dengan syariat Islam dan Perlembagaan Persekutuan adalah tepat pada waktunya.
Setiausaha Agung, Majlis Perundingan Melayu (MPM), Datuk Dr. Hasan Mad berkata, titah Sultan Abdullah itu juga mengambarkan kewibawaan baginda serta institusi raja-raja Melayu yang sentiasa prihatin dengan cabaran yang didepani institusi-institusi yang menjaga kepentingan Islam di negara ini.
“MPM berpendirian titah Yang di-Pertuan Agong amat tepat pada masanya dan menggambarkan kewibawaan baginda serta institusi raja-raja Melayu yang prihatin serta mengikuti dengan rapat perkembangan serta cabaran didepani institusi-institusi yang menjaga kepentingan Islam dan masyarakat umum.
“MPM sebelum ini telah beberapa kali melahirkan rasa gusar mengenai gerakan beberapa pihak khususnya dalam kalangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mahu mengubah landskap keamanan dan kestabilan negara melalui cara mengganggu-gugat asas-asas Perlembagaan Persekutuan. Kami menyeru semua pihak menghayati titah baginda dalam memastikan kepatuhan serta ketaatan terhadap peruntukan-peruntukan Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, semasa Majlis Munaqasyah Pengurusan Hal Ehwal Islam Negeri-negeri di bawah naungan Seri Paduka Baginda di Istana Negara, Al-Sultan Abdullah bertitah, institusi agama kerap menerima tekanan dari luar seperti pihak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan NGO dalam usaha mereka menegakkan hak asasi manusia namun bertentangan dengan syariat Islam dan Perlembagaan Persekutuan.
Baginda bertitah, hanya kesatuan serta kerjasama yang kukuh dapat menepis segala permintaan yang bertentangan dengan syariat Islam serta Perlembagaan Persekutuan.
Sementara itu, tambah Hasan, pendirian Yang di-Pertuan Agong itu juga mewakil keprihatinan raja-raja Melayu secara ijmak penting dalam menjamin kemakmuran dan kestabilan negara.
“Dalam hal ini, MPM menyeru agar rakyat bersatu padu di bawah naungan baginda dan menolak sebarang usaha NGO liberal atau mana-mana pihak yang berkeras ingin melaksanakan tuntutan hak asasi manusia beracuan barat yang tidak semuanya sesuai dengan agama Islam dan adat budaya masyarakat Malaysia.
“Tuntutan hak asasi manusia hendaklah bersesuaian dengan Islam, kehendak Perlembagaan Persekutuan dan nilai-nilai adat budaya kita.
“MPM menjunjung kasih di atas titah Yang di-Pertuan Agong dan akan sentiasa mendoakan kesejahteraan baginda dalam menjalankan amanah selaku ketua agama Islam dan negara yang dicintai ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE











