KUALA LUMPUR – Tindakan segera yang konkrit perlu diambil bagi memastikan bumi terus mampan berikutan kata-kata dan hasil kajian tidak cukup untuk membawa kemajuan dalam peralihan kepada tenaga bersih.
Naib Pengerusi Eksekutif Kumpulan Hyundai Motor, Euisun Chung berkata, beliau percaya masyarakat yang dikuasakan hidrogen adalah penyelesaian yang paling berdaya maju untuk kejayaan peralihan tenaga.
“Menjelang 2050 hidrogen boleh mewakili satu perlima daripada jumlah tenaga yang digunakan. Pemimpin-pemimpin daripada semua sektor digesa menyertai Majlis Hidrogen bagi menunjukkan potensi hidrogen dalam menyelesaikan masalah keperluan tenaga,” katanya.
Beliau berkata demikian pada persidangan Menteri Tenaga G20 di Karuizawa, Jepun.
Tambah Chung, hidrogen boleh membantu kerajaan untuk memberi manfaat besar kepada rakyat mereka, keselamatan tenaga, alam sekitar dan ekonomi.
Beliau yang juga Pengerusi Bersama Majlis Hidrogen berkata, laporan Majlis Hidrogen yang bertajuk ‘Hidrogen, Semakin meningkat’ mengatakan apabila dilaksanakan secara berskala hidrogen mampu mengurangkan pelepasan karbon dioksida (C02).
“Secara kasarnya CO2 dapat dikurangkan sebanyak enam gigatan berbanding paras hari ini dan menyumbang kira-kira 20 peratus daripada pengurangan yang diperlukan untuk menghadkan pemanasan global kepada dua darjah selsius,” katanya.
Dari segi potensi ekonomi, hidrogen dijangka mewujudkan pasaran bernilai AS$2.5 trilion (RM10.46 trilion) selain mencipta peluang pekerjaan kepada lebih 30 juta orang. – UTUSAN ONLINE











