Tiga lelaki tidak sempat edar dadah RM3.2 juta - Utusan Malaysia

Tiga lelaki tidak sempat edar dadah RM3.2 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU – Tiga lelaki ahli sindiket termasuk dalang utama tidak sempat mengedar pelbagai jenis dadah bernilai RM3.2 juta apabila mereka diberkas dalam empat serbuan berasingan di sekitar bandar raya ini pada Jumaat lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Khalil Kader Mohd. berkata, kesemua individu yang ditahan merupakan warga tempatan berusia 27 hingga 31 tahun selepas disyaki terlibat dalan aktiviti pengedaran dadah antarabangsa.

Menurutnya, empat serbuan itu masing-masing di sebuah gudang di Taman Mount Austin, Plaza Tol Kulai dan rumah di Taman Desa Tebrau dan Taman Mount Austin itu merupakan hasil intipan dan risikan polis yang dilakukan selama lima bulan.

“Dalam serbuan itu, kita merampas pil erimin 5 sebanyak 119,400 biji, pil ekstasi (17,450 biji), serbuk ekstasi (8,414 gram), ketamin (220 gram) dan cecair syabu (415 gram) yang dianggarkan nilai pasaran mencecah RM3.2 juta.

“Serbuan yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dan JSJN Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor itu turut menyita pelbagai barangan termasuk dua buah kereta dengan nilai keseluruhan RM178,800,” katanya pada sidang akhbar di IPK Johor di sini hari ini.

Hadir sama ialah Pemangku Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Kamarul Zaman Mamat.

Mohd. Khalil berkata, dua daripada tiga lelaki yang ditahan positif dadah dan ketiga-tiga lelaki itu mempunyai rekod jenayah lampau.

Mohd. Khalil berkata, dadah yang dirampas itu dipercayai diperoleh dari utara dan dihantar ke negeri ini untuk dijual di pasaran tempatan dan antarabangsa.

“Semua suspek direman selama tujuh hari bermula 31 Mei lalu hingga 7 Jun ini,” katanya polis masih memburu saki baki kumpulan itu.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×