KUALA LUMPUR – Pengiktirafan Moody’s Investors Service (Moody’s) terhadap Petronas tidak akan menjejaskan prestasi syarikat minyak negara itu.
Jelas Perdana Menteri, Moody’s boleh membuat sebarang penilaian namun tidak semua penilaian yang dilakukan oleh agensi itu tepat.
“Mereka (Moody’s) nak buat, buatlah. Kita tak semestinya kena ikut pendapat agensi. Kadang-kadang ada juga mereka buat penilaian tak betul, kita tak boleh tegur mereka sebab mereka bebas.
“Daripada segi apa yang kita lihat Petronas buat sekarang ini, saya yakin penurunan itu tidak akan menjejaskan progres Petronas,” katanya kepada pemberita di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hari ini.
Jumaat lalu, Moody’s menurunkan penarafan penerbit domestik dan mata wang asing senior tidak bercagar Petronas kepada A2 daripada A1 serta mengubah unjuran kepada ‘stabil’ daripada ‘negatif’.
Dalam kenyataan itu, agensi penarafan global itu berkata metrik kredit syarikat minyak negara kekal kukuh, namun diberikan penarafan yang lebih disebabkan semakan semula metodologi silang sektor.
Moody’s menyiarkan metodologi rentas sektor yang dikemas kini bertajuk ‘Menilai Impak Kualiti Kredit Kerajaan pada Penilaian Lain’ pada 20 Jun lalu. – UTUSAN ONLINE











