Tidak salah protes pelantikan Latheefa - Kit Siang - Utusan Malaysia

Tidak salah protes pelantikan Latheefa – Kit Siang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Penasihat DAP, Lim Kit Siang menyifatkan mana-mana pihak yang memprotes pelantikan Latheefa Koya sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana melanggar Janji Ke-14 dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) adalah tidak salah.

Menurut Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu, beliau yakin jika Latheefa bukan individu yang terlibat dalam kontroversi tersebut, sudah tentu bekas Pengarah Eksekutif Lawyers for Liberty sendiri mengkritik sebarang pelantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM baharu, sepertimana isu pelantikannya yang berlaku ketika ini.

Kit Siang malah berkata, menggunakan logik tersebut, pelantikan Datuk Seri Mohd. Shukri Abdull pada 18 Mei 2018 mungkin juga melanggar Janji Ke-14 manifesto PH.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Pindaan Perlembagaan bagi melaksanakan Janji Ke-14 manifesto PH belum dilakukan, ini menimbulkan situasi yang tidak menyenangkan yang mana berdasarkan Perlembagaan tindakan Perdana Menteri adalah betul tetapi secara politiknya salah untuk menggunakan hak prerogatif bagi melantik Latheefa sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM.

“Sepertimana berlaku isu Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2019 tidak diluluskan di Dewan Rakyat pada April lalu, tidak mudahlah untuk membuat pindaan terhadap undang-undang dan Perlembagaan bagi membuka laluan untuk pencapaian Malaysia Baharu.

“Adakah ahli Parlimen pembangkang dan parti pembangkang akan menyokong pindaan Perlembagaan untuk melaksanakan Janji Ke-14 manifesto PH ?,” katanya menerusi kenyataan yang dimuat naik dalam blognya, hari ini.

Mengulas lanjut, Kit Siang turut mengemukakan dua pengajaran penting daripada kekecohan pelantikan Latheefa sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM baharu.

Pertama, kata beliau, pentingnya untuk sentiasa membina kepercayaan dalam kalangan pemimpin PH dan pengajaran kedua adalah keperluan para pemimpin PH menegaskan komitmen mereka kepada manifesto parti sebagai `road map’ bagi mencapai Malaysia Baharu.

Jelasnya, sepertimana diakui semua, pelantikan Latheefa adalah di bawah kuasa Perdana Menteri dan ia berperlembagaan sepenuhnya di bawah undang-undang sedia ada.

“Malah, dalam pelantikan Latheefa juga tidak dipersoalkan mengenai kelayakan beliau, isu yang dipertikaikan adalah pelantikannya tidak selaras dengan Janji Ke-14 manifesto PH PRU-14,” katanya.

Dalam pada itu, Kit Siang berkata, kerajaan PH harus mencapai kemajuan yang lebih besar dalam membina Malaysia Baharu sepertimana digariskan dalam manifesto parti pada tahun kedua berbanding tahun pertama kerajaan yang sebahagian besar tertumpu pada skandal politik, ekonomi dan kewangan yang ditinggalkan oleh pentadbiran sebelum ini.

Katanya, memerangi rasuah merupakan antara tujuan utama kerajaan PH.

“Rakyat Malaysia dan SPRM perlu menyedari hakikat bahawa kes pendakwaan rasuah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan beberapa lagi pemimpin besar pentadbiran kerajaan sebelum ini menunjukkan Malaysia berada pada landasan menjadi negara tertinggi dalam soal integriti.

“Kami mahu visi Malaysia Baharu PH berjaya bermakna kami mahu Latheefa berjaya menjadikan Malaysia negara bebas rasuah,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini