KUALA LUMPUR 27 Jun – Usaha Universiti Putra Malaysia (UPM) untuk mencapai ranking lebih baik dalam penarafan Quacquarelli Symonds (QS) World University Rankings tidak dianggap satu tekanan, malah ia merupakan satu penanda aras untuk penambahbaikan bagi menjadikannya sebagai universiti pilihan global.
Naib Canselornya, Profesor Datuk Dr. Aini Ideris berkata, pihaknya juga tidak pernah meletakkan sasaran untuk ‘memotong’ kedudukan Universiti Malaya (UM) yang terus mencatat kedudukan terbaik antara universiti dalam negara mengikut penarafan itu.
Sebaliknya, menurut beliau, UPM mahu bersama universiti-universiti awam lain meningkatkan ranking masing-masing supaya hab pendidikan negara turut sama cemerlang sekali gus dikenali dunia.
“Tidak terlintas pun untuk UPM bersaing dengan mana-mana universiti di negara ini semata-mata mahu menduduki ranking teratas. Kita tidak pernah meletakkan sebarang sasaran untuk memotong UM tetapi mahu sama-sama naik mengikut kemampuan masing-masing. Kalau UM mampu mencapai ranking lebih baik, UPM akan sokong.
“Kalau dahulu ramai yang tidak tahu Malaysia mempunyai universiti cemerlang, namun dengan ranking ini bukan sahaja dapat meningkatkan universiti itu sendiri tetapi juga sektor pendidikan di Malaysia,” kata beliau dalam wawancara dengan Utusan Malaysia yang disiarkan di halaman 18 dan 19 hari ini.
Dalam penarafan QS World University Rankings 2020, UPM berjaya melonjak sebanyak 43 anak tangga kepada kedudukan ke-159 terbaik dunia manakala UM menduduki tempat ke-70. – UTUSAN ONLINE











