KOTA BHARU – Kerajaan Pas Kelantan menafikan terdapat lombong bijih besi di kawasan berhampiran penempatan penduduk Orang Asli suku kaum Batek di Kuala Koh, Gua Musang yang kini dijangkiti penyakit radang paru-paru.
Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, tiada rekod mengenai aktiviti perlombongan yang sah di kawasan itu dan perkara ini turut diakui Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri sendiri.
Malah beliau berkata, dakwaan bahawa penduduk dijangkiti radang paru-paru kerana sumber air tercemar akibat kewujudan lombong haram juga tidak tepat kerana penyakit berkaitan pernafasan ini adalah sejenis penyakit bawaan udara.
“Kalau nak kata (kerana) lombong terlalu awal, kenyataan itu juga tidak bertangggungjawab. (Lombong) dekat mana dia sebut pun saya tak tahu, saya kena rujuk dulu.
“Menteri ini kadang-kadang dia bukan ada maklumat yang tepat, kalau perlombongan secara haram pun bukan masalah kita tapi disebabkan pelombong itu sendiri, bukan dengan restu kerajaan.
“(Sebarang) lesen melombong dikeluarkan di bawah Pejabat Tanah dan Galian (PTG), kalau lesen mati maka PTG bertanggungjawab, tetapi kita kena tahu (dakwaan) itu betul atau tidak, di mana tempat, nama syarikat, kalau sebut (umum) macam itu kita tak tahu,” katanya selepas mesyuarat pra Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di JKR 10 di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas dakwaan Timbalan Menteri Tanah, Air dan Sumber Asli, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji yang mendakwa terdapat sebuah syarikat bijih besi beroperasi secara haram di kawasan Kuala Koh selepas lesennya tamat pada 2017.
Tengku Zulpuri semasa tinjauannya di Kuala Koh semalam dilaporkan berkata, syarikat itu mempunyai lesen daripada kerajaan negeri dari 2016 hingga tahun 2023 tetapi bagi kebenaran melakukan operasi melombong yang dikeluarkan oleh Kerajaan Pusat sudah tamat tempoh pada 2017.
Sementara itu, Mohd Amar berkata, pihak kerajaan negeri yang diwakili Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr Izani Husin telah pun turun ke kawasan Orang Asli yang terjejas untuk meninjau dan mendapatkan laporan awal mengenai apa yang berlaku di sana.
“Kita ada JAKOA, kita tidak boleh masuk tidak menentu, Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) yang ambil tindakan, ada yang perlu masuk hospital masuk hospital, ada yang sudah boleh keluar dari hospital, agensi-agensi juga sudah bertindak, setiap orang bergerak melalui bidang tugas masing-masing,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd Amar menolak cadangan Ahli Dewan Negara, Datuk Husam Musa supaya sebuah jawatankuasa forensik bebas ditubuhkan bagi mengkaji semua aspek berkenaan krisis kesihatan melibatkan masyarakat Orang Asli suku kaum Batek di Kuala Koh, Gua Musang itu.
“Tidak ada keperluan kerana itu memang kerja Jabatan Kesihatan negeri dan hospital yang akan buat sendiri, kita tidak ada benda hendak disembunyikan.
“Cuma (sekarang) maklumat agak lambat sampai ke pihak berwajib, kalau sampai awal mungkin Jabatan Kesihatan dan JAKOA boleh bertindak awal, bila lambat maka tindakan pun lambatlah,”katanya. – UTUSAN ONLINE











