GUA MUSANG – Masyarakat suku kaum Bateq di Kampung Kuala Koh, Pos Lebir di sini tidak menyangka krisis kesihatan yang melanda perkampungan mereka lebih sebulan lalu sehingga mengorbankan 15 nyawa adalah berpunca daripada wabak demam campak.
Sebelum ini mereka mendakwa terdapat dalam kalangan penduduk terkena penyakit itu, namun dapat diubati dengan menggunakan ubat tradisional yang dihasilkan sendiri.
Seorang penduduk, Jamil Hendi, 23, berkata, anaknya juga pernah diserang demam campak dan kembali sembuh selepas menerima rawatan di klinik.
Katanya, mereka amat terkejut selepas mendapat tahu berita itu dan disahkan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad.
“Kami bersama penduduk lain masih meragui tentang penyakit itu dan percaya ada punca lain menyebabkan jangkitan hingga membawa 15 kematian dalam masa singkat.
“Kebanyakan penduduk sebelum ini menyangkakan ahli keluarga mereka sakit adalah disebabkan oleh sumber air tercemar akibat perlombongan bijih mangan di kawasan berhampiran kampung,” katanya di sini hari ini.
Seorang lagi penduduk, Yahya Ong, 35, pula berkata, seramai 185 penduduk Orang Asli suku Bateq di sini, yang tinggal di khemah sementara di tepi Sungai Pertang sudah pulang sepenuhnya ke rumah masing-masing.
Katanya, mereka mengharapkan pelbagai pihak mengadakan gotong-royong secepat mungkin bagi membersihkan rumah dan kampung mereka bagi mengelak jangkitan penyakit.
“Selepas dibekalkan kemudahan air bersih dan mendapat nasihat daripada pelbagai pihak kami semua kembali ke kampung asal.
“Walaupun penduduk sudah pulang ke rumah tetapi khemah yang dibina di kawasan hutan masih belum dirobohkan kerana kami akan tinggal semula di situ jika keadaan belum selamat,” katanya. – UTUSAN ONLINE











