KUALA LUMPUR – Semua pihak diminta supaya menerima keputusan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan memberi ruang kepada Latheefa Koya melaksanakan tugas dengan tegas serta berkesan.
Ketua Umum Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kenyataan berkata, polemik terbuka secara berterusan dikhuatiri akan mendorong implikasi negatif terhadap citra dan imej kerajaan.
“Saya yakin Dr. Mahathir dan pimpinan PH akan menilai segala pandangan dengan penuh prihatin dan selanjutnya akan menjelaskan kepada Kabinet dan Majlis Presiden PH.
“Saya menggesa semua rakan menerima keputusan Dr. Mahathir dan memberikan ruang kepada Latheefa dan SPRM untuk melaksanakan tugas dengan tegas dan berkesan,” katanya.
Dalam kenyataan sama, Anwar yang juga Presiden PKR berkata, secara positif polemik tersebut telah memperkukuh komitmen PH untuk memastikan SPRM melaksanakan tugas secara adil selaras dengan kenyataan Dr. Mahathir di
Melaka hari ini.
Kata beliau, kenyataan Dr. Mahathir bahawa penjawat awam menjadi golongan berkecuali dan mengelakkan diri daripada ikatan terlalu kuat dengan parti politik di belakang kerajaan memerintah.
“SPRM dituntut bertindak terhadap semua kes rasuah sama ada pentadbiran lama dan baharu.
“Pimpinan PH, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan rakyat pasti akan terus memantau perjalanan serta keberkesanan agensi itu,” katanya. – UTUSAN ONLINE










