AMSTERDAM 19 Jun – Pasukan penyiasat antarabangsa akan mengeluarkan waran tangkap kepada empat suspek yang bertanggungjawab terhadap nahas pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 yang ditembak jatuh di timur Ukraine, pada 2014.
Identiti kesemua suspek terbabit didedahkan oleh Pasukan Penyiasat Bersama (JIT) dalam satu sidang media hari ini.
Mereka adalah tiga warga Rusia iaitu Igor Girkin, Sergey Dubinskiy dan Oleg Pulatov serta seorang rakyat Ukraine yang dikenali sebagai Leonid Kharchenko.
“Hari ini, kami akan menghantar waran tangkap antarabangsa untuk suspek pertama yang akan kami dakwa. Mereka akan disenaraikan sebagai penjenayah paling dikehendaki di peringkat nasional dan antarabangsa,” kata Ketua Konstabel Polis Nasional Belanda, Wilbert Paulissen.
Pendakwaraya Belanda, Fred Westerbeke berkata, mereka adalah empat orang suspek yang akan bertanggungjawab membawa senjata pemusnah, BUK Telar ke timur Ukraine”.
Mereka akan dibicarakan di Belanda pada 9 Mac 2020.
Bagaimanapun mereka berkemungkinan besar dibicarakan tanpa kehadiran suspek kerana Rusia tidak membenarkan rakyatnya diekstradisi ke luar negara bagi menghadiri perbicaraan.
Sementara itu, pasukan penyiasat berkata, lokasi terkini Karchenko masih belum dapat dikesan.
“Saya sangat gembira perbicaraan ini akhirnya akan bermula dan kesemua nama suspek telah didedahkan. Ia satu permulaan dan saya berpuas hati,” kata salah seorang ahli keluarga, Silene Fredriksz yang kehilangan anak lelaki dan menantu perempuannya.
Ditanya sekiranya dia menyalahkan sesiapa berhubung nahas berkenaan. Fredriksz berkata: “Presiden Rusia, Vladimir Putin.
“Ini kerana beliau menjadikan semua ini berlaku, beliau mencipta situasi ini dan beliau patut bertanggungjawab.”
MH17 ditembak jatuh di ruang udara yang dikuasai kumpulan pemisah pro-Rusia pada 17 Julai 2014 di timur Ukraine ketika dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur dengan kesemua 298 penumpang terbunuh dalam insiden itu.
Kebanyakan mangsa nahas terdiri daripada warga Belanda dan pasukan penyiasat bersama disertai oleh Australia, Malaysia, Belgium, Belanda serta Ukraine.
Seorang suspek utama, Girkin mendakwa kumpulan pemisah pro-Rusia tidak terbabit dalam insiden terbabit.
“Saya hanya boleh katakan kumpulan pemisah tidak menembak jatuh pesawat Boeing itu,” kata Girkin kepada agensi berita Interfax.
Kesemua negara tersebut sebulat suara mendapati pesawat malang itu ditembak jatuh oleh peluru berpandu Rusia.
Sehingga kini, kerajaan Rusia menafikan dakwaan mereka menyalurkan sokongan kepada kumpulan pemisah pro-Rusia serta penglibatan dalam nahas MH17.
Putin tahun lalu menyifatkan nahas tersebut sebagai ‘tragedi terburuk’, namun menegaskan bahawa Moscow bukanlah pihak yang harus dipersalahkan.
Rusia sehingga kini enggan memberi kerjasama dengan siasatan selain Moscow dijangka tidak akan ‘menyerahkan suspek’ nahas tersebut. – AFP/AGENSI











