KUAL LUMPUR 25 Jun – Kementerian Pertahanan akan meneliti dan memperhalusi kewajaran utama cadangan untuk memindahkan semua kekuatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Kem Lok Kawi di Kota Kinabalu ke kawasan pantai timur khususnya di Lahad Datu, Sabah.
Menterinya, Mohamad Sabu berkata, bagaimanapun perkara tersebut masih dalam peringkat perbincangan semua pihak menerusi Majlis Keselamatan Negara (MKN).
“Terima kasih atas pandangan itu dan kita mengambil maklum perkara ini sedang dalam perbincangan menerusi MKN.
“Kita akan bincang dan teliti dahulu perkara ini termasuk semua di kawasan pantai timur dan perairan negeri ini dan menjadi perhatian serius setiap kali perbincangan dibuat dalam MKN,” katanya di sini hari ini.
Terdahulu beliau hadir dalam majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri kementeriannya yang dihadiri kira-kita 5,000 jemputan terdiri daripada warga kementerian dan masyarakat tempatan.
Yang turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Deri Dr. Wan Azizah Wan Ismail; Timbalan Menteri Pertahanan, Senator Liew Chin Tong; Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Seri Zuki Ali dan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin.
Rabu lalu, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal meminta Kerajaan Pusat untuk memindahkan kekuatan ketenteraan Kem Lok Kawi ke pantai timur Sabah bagai memastikan tahap keselamatan di kawasan berkenaan dapat diatas khususnya ancaman lanun. – UTUSAN ONLINE











