KOTA BHARU – Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan menegaskan beliau tidak pernah berniat untuk mempertikaikan kuasa Yang di-Pertuan Agong untuk memberikan pengampunan kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ceramahnya ketika Pilihan Raya Kecil (PRK) Sandakan 8 Mei lalu.
Ahli Parlimen Kota Bharu itu berkata, dalam ceramah tersebut, beliau hanya bertanya kepada orang ramai apakah mereka mahu seorang yang berstatus banduan untuk menjadi Perdana Menteri pada masa depan.
“Saya tidak ada niat langsung mempertikaikan pengampunan yang diberikan oleh Yang di-Pertuan Agong, yang saya persoalkan siapa yang meminta pengampunan sebab kita sendiri tidak jelas, siapa yang minta Anwar atau orang lain.
“Dalam Perlembagaan Perkara 42 ada prosedur siapa yang boleh memohon pengampunan itu,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu di sini hari ini.
Terdahulu, beliau memberikan keterangan selama sejam 30 minit bermula pada pukul 3 petang berhudung laporan polis oleh Pemuda PKR Cabang Ketereh yang mendakwanya telah mempersoalkan kuasa Yang di-Pertuan Agong memberikan pengampunan kepada Anwar pada 13 Mei lalu.
Takiyuddin yang juga seorang pengamal undang-undang berkata, dalam ceramah tersebut beliau berucap selama 30 minit yang menekankan kepada tiga perkara utama termasuk sebab kenapa Anwar tidak layak menjadi Perdana Menteri.
“Saya nyatakan Anwar tidak layak menjadi Perdana Menteri atau pemimpin negara ini atas alasan beliau ada bekas banduan. Justifikasi saya kerana beliau telah disabitkan di mahkamah paling tinggi di Malaysia iaitu Mahkamah Persekutuan sekurang-kurangnya dua kes. Pertama kes penyalah gunaan kuasa pada tahun 2002, masa itu dia sebagai Timbalan Perdana Menteri terhadap pegawai cawangan khas polis dia dihukum penjara enam tahun
“Kes sodomi kedua pada tahun 2015, Mahkamah Persekutuan memutuskan dia disabitkan bersalah sebagaimana mahkamah di bawah jadi menyebabkan pada pandangan saya yangh mepunyai sedikit pengetahuan dalam undang-undang, bahawa beliau masih lagi seorang bekas banduan oleh sebab itu saya persoal kepada orang awam apakah kita hendak orang macam ini jadi Perdana Menteri kita,” katanya.
Tambahnya, beliau disiasat di bawah 504 Kanun Keseksaan mengeluarkan kenyataan berbaur provokasi serta menimbulkan rasa tak puas hati.
“Saya menghormati pihak polis untuk menjalakan siasatan ini dan saya sudah menjelaskan kepada mereka serta berharap pihak polis memberikan pengesyoran yang tepat bahawa tidak timbul langsung saya mempersoalkan kuasa Yang di-Pertuan Agong,” katanya. – UTUSAN ONLINE











