‘Tak timbul isu PH menjauhi rakyat’ - Utusan Malaysia

‘Tak timbul isu PH menjauhi rakyat’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR – Pemasangan pagar besi pemisah antara orang kenamaan (VIP) dan rakyat semasa Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Peringkat Negeri 2019 Sabtu lalu adalah atas faktor keselamatan.

Ini berikutan keberangkatan tiba Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah dan Sultanah Kedah, Sultanah Maliha Tengku Ariff yang berkenan ke majlis itu yang diadakan di Stadium Sultan Abdul Halim, di sini.

Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, pemasangan pagar tersebut dilakukan pihak urusetia yang membuat persiapan kerana sudah menjangka kehadiran rakyat ke majlis itu mencecah puluhan ribu orang.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Pemasangan itu sebenarnya untuk baginda berdua, kami-kami ini hanya mengiring sahaja dan kami orang politik tak kisah pun sebab memang selalu mendampingi rakyat, malah tak timbul isu itu di majlis Aidilfitri lain termasuk di Seri Mentaloon dan Ayer Hitam.

“Jadi, tak timbul soal parti kerajaan menjauhi rakyat, cuma bezanya untuk majlis pada malam itu adalah keberangkatan Sultan dan Sultanah, atas keselamatan baginda yang agaknya menyebabkan urusetia membuat persiapan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Rumah Terbuka Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) di sini hari ini.

Semalam, Pemuda UMNO negeri kesal atas sikap ketidakprihatinan kerajaan negeri yang meletakkan pagar besi pemisah sehingga menyebabkan ada dalam kalangan orang ramai dan kanak-kanak yang mahu bersalaman dengan VIP terpaksa berbuat demikian di sebalik pagar itu.

Dianggarkan kira-kira 20,000 rakyat dari seluruh negeri ini berkunjung ke rumah terbuka tersebut yang menyediakan pelbagai juadah menarik.

Dalam pada itu, menjawab dakwaan terdapat orang ramai yang tidak berpeluang menjamah makanan kerana kehabisan, Mukhriz berkata, pihaknya menyediakan makanan mencukupi pada majlis itu.

“Timbul juga kerisauan kalau tak cukup makan (selepas melihat jumlah kehadiran) tetapi selepas itu kita ajak ramai-ramai masuk ke dalam dewan kerana masih ada lagi makanan di sana dan mereka dapat menikmati juadah disediakan.

“Pada masa sama, kami melihat ini petanda baik yang bermaksud rakyat hadir begitu ramai kerana kami pun tak jangka kehadiran sampai macam itu sekali..bila sampai-sampai tengok tudia aih…,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini