SATU perkara yang paling menonjol dalam kes video Haziq-Azmin ialah sikap Tun Dr Mahathir Mohamad. Amat berbeza dari dulu. Apakah beliau telah berubah? Syukurlah kalau sudah berubah. Biasanya orang tua susah nak berubah.
Kalau dulu, tak ada video pun boleh jadi kes. Cukup dengan pengakuan ‘mangsa’. Tak kira lah ‘mangsa’ itu mengaku dalam paksa atau dalam keadaan tertekan. Yang pasti ‘mangsa’ itu kemudiannya mengaku yang pengakuannya adalah terpaksa kerana tak tahan dengan ‘penyeksaan’ dan tekanan yang diterima.
Bukan itu sahaja! Seluruh aparatus kerajaan ketika itu digunakan bukan hanya untuk menjatuhkan seseorang tetapi sampai ke peringkat mengaibkan orang itu dan keluarganya. Sehingga tilam pun diarak masuk mahkamah. Pelik ada lucu pun ada.
Macam-macam cerita dikeluarkan. Munasabah dan tak munasabah. Tak cukup pengakuan ‘mangsa’ yang meragukan. Secara teknikal juga disangsikan dari sudut penyimpanan bahan bukti dan cara pengambilan bukti, kalau menurut piawai antarabangsa sepatutnya telah ditolak mentah-mentah.
Orang agama ketika itu turut terjerumus sama. Qazaf ditolak begitu sahaja. Saksi mata tak cukup empat orang pun boleh sabit kesalahan. Muslim sama muslim tidak dibicarakan di Mahkamah Syariah. Mungkin mahkamah syariah tidak punya peruntukan tersebut.
Lain hulu lain parang, lain dulu lain sekarang. Itu cerita dulu. Sekarang dah berubah. Kalau dulu seks dan rasuah digabungkan untuk menjatuhkan seseorang, tapi kini tidak lagi.
Mufti yang pertama-tama bersuara tentang qazaf, tentang perlunya empat orang saksi mata untuk sabitkan kesalahan, walaupun ada video perlakuan dan pelakunya. Cuma rasanya pelakunya tidak pernah mengaku mereka telah melakukan perbuatan terkutuk itu. Dia cuma mengaku dia berada di hotel itu dan membuka rahsia siapa lelaki seorang lagi yang bersamanya. Kenapa rasa bersalah?
Mahathir juga orang yang pertama menolak video itu. Dan tak mungkin beliau mahu memperpanjangkan kes itu. Tak tahulah kerana beliau telah benar-benar berubah atau ada hubungkaitnya dengan salah seorang pelakunya. Apakah kerana ‘anak angkat’ nya?
Begitu juga dengan pihak berkuasa. Walaupun laporan polis telah dibuat, tetapi kali ini lebih berhati-hati. Video mesti diperiksa ketulinan dan kesahihannya. Ini langkah yang bagus dan sepatutnya dari pihak berkuasa. Cuma nak tanya berapa lama agaknya?
Begitu juga pelakunya telah disoal-siasat dan kenyataannya telah diambil. Dan beliau pun telah dibebaskan dan boleh ke sana sini waima ke luar negara.
Cuma yang masih berkokok sana sini adalah orang ‘politik’ sahaja. Yang berkepentingan, yang nak terus berkuasa terpaksalah mempertahankan dirinya. Dan dalam melakukan itu, mungkin beliau terpaksa menuding jari ke sana ke sini. Dia berharap tembakannya itu kena sasaran atau kisah yang memalukannya itu mati begitu saja.
Pun begitu, rata-rata rakyat tak ambil pot perkara ini. Yang bising cuma orang politik. Inilah Malaysia baru yang kita idamkan? Rakyat tidak mahu politiking berlebihan. Biarlah politik semasa nak pilihan raya sahaja.
Selepas pilihan raya, kerjalah. Bukan kerja sahaja, kerja keraslah. Perbaiki ekonomi, perbanyakkan peluang pekerjaan dan turunkan kos sara hidup rakyat. Penuhilah sebanyak mungkin janji yang termaktub dalam manifesto mengikut kemampuan. Rakyat faham kekangan yang dihadapi. Bukan senang mewarisi negara yang bobrok dengan hutang yang bertimbun.
Bukan sahaja rakyat tak suka politiking yang berlebihan. Dah menyampah dengan politik kotor dan longsor yang digunakan untuk menjatuhkan satu sama lain. Tak habis-habis menuding jari. Tak sedar mereka telah memburukkan parti sendiri ibarat ayam berkokok berderai-derai, ekor bergelumang tahi. Bayangkan dalam satu parti ada dua bakal perdana menteri. Tidak hormat kepada ketua? Takkan tak belajar dari kisah Caesar dan Brutus yang menjahanamkan Empayar Rom.
Berhentikan semua suara sumbang! Biarkan polis selesaikan penyiasatan dengan tuntas dan cepat! Tuhan pasti ada perancangan-NYA sendiri, dan pasti perancangan-NYA itu lebih baik!
Wai Tee
19 Jun 2019











