MUAR – Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan mengurniakan Darjah Sultan Ibrahim Johor Yang Amat Disanjungi Pangkat Kedua Dato’ Mulia Sultan Ibrahim Johor (DMIJ) yang membawa gelaran Datuk kepada Pegawai Daerah Johor Bahru, Mohammed Ridha Abd. Kadir.
Pengurniaan DMIJ itu bersempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Johor pada Mac lalu.
Baginda turut berkenan mengurniakan Darjah dan Pingat kepada seramai 122 individu dalam Istiadat Penyampaian Darjah dan Pingat-Pingat berlangsung di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim di sini hari ini.
Berangkat sama, Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah dan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim serta kerabat Diraja Johor.
Dalam majlis itu, seramai enam individu menerima Darjah Sultan Ibrahim Yang Amat Disanjungi Pangkat Ketiga Setia Mulia Sultan ibrahim Johor (SIJ).
Seramai 13 individu menerima Pingat Kerana Lama dan Baik Dalam Pekerjaan (PLP) manakala seramai 83 individu dianugerahkan Pingat Sultan Ibrahim Johor Pangkat Kedua (PSI II).
Baginda turut menganugerahkan Pingat Sultan Ibrahim Johor Pangkat Ketiga (PSI III) kepada 20 individu termasuk empat jurulatih pasukan Persatuan Tarian Singa dan Naga Kun Seng Keng.
Persatuan Tarian Singa dan Naga Kun Seng Keng dari daerah ini berjaya mengekalkan status juara bertahan serta juara dunia sebanyak 12 kali. -UTUSAN ONLINE











