IPOH – Proses pemilihan ketat termasuk perlu lulus pelbagai ujian menyaksikan jumlah kemasukan anggota baharu yang terpilih menyertai pasukan 69 Komando kecil.
Walaupun jumlah pegawai dan anggota yang berminat untuk menyertai pasukan ini tinggi tetapi kebanyakannya gagal memenuhi kriteria yang diperlukan.
Difahamkan masalah kekurangan pengambilan ini menyebabkan kira-kira 40 peratus perjawatan di dalam pasukan berkenaan tidak dapat diisi.
Komander 69 Komando, Senior Asisten Komisioner Abdul Razak Mohd. Yusoff berkata, faktor ini juga menyebabkan pihaknya berhadapan dengan kesukaran untuk memilih pegawai dan anggota yang berkelayakan.
“Pemilihan menyertai 69 Komando adalah secara sukarela kerana kita mahu hanya calon yang benar-benar berminat tetapi pada masa sama memiliki kriteria yang kita perlukan.
“Mereka ditapis dan perlu melalui banyak ujian seperti aspek ketahanan fizikal dan mental serta menempuh latihan berat sebelum layak bergelar komando,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Malis Hari Raya Aidilfitri 69 Komando di markas pasukan berkenaan di Kem Ulu Kinta di sini semalam.
Majlis turut dihadiri Penasihat Khas kepada Menteri Besar, Datuk Zainol Fadzi Paharudin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Manik.
69 Komando merupakan unit elit Polis Diraja Malaysia (PDRM) paling digeruni musuh kerana memiliki kepakaran tempur di hutan yang tinggi semasa memerangi pengganas komunis.
Mengulas lanjut, Abdul Razak memberitahu, biarpun jumlah kemasukan kecil tetapi pihaknya tidak boleh berkompromi kerana perlu meletakkan faktor kualiti berbanding kuantiti.
“Kita mahu mereka (anggota PDRM) yang ingin menyertai 69 Komando membuat persediaan dan bukan mahu cuba-cuba. Bagi yang lulus dan melepasi pelbagai ujian, mereka bergelar calon yang terbaik,” ujarnya. – K! ONLINE











