Sukan Asia 2018 bukti kagagalan Karim - Utusan Malaysia

Sukan Asia 2018 bukti kagagalan Karim

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Tidak berjaya membawa pulang sebarang pingat sewaktu kempen Sukan Asia 2018 bukti kegagalan Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk Karim Ibrahim sekali gus wajar memilih untuk mengundur diri dalam pemilihan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) badan induk itu pada 30 Jun ini.

S.M MUTHU

Itu tegas Datuk S.M Muthu yang bakal mencabar Karim dalam pemilihan tersebut berikutan mahu membawa perubahan dalam KOM.

Memuatkan artikel berkaitan…

Kata Muthu, Karim sewajarnya lebih profesional dengan memberi laluan kepada orang lain mengemudi KOM selepas tidak berupaya membantu olahraga meraih keputusan membanggakan pada Sukan Asia.

“Jika olahraga berjaya meraih banyak emas dalam Sukan Asia pasti ramai pihak yang mahu dia (Karim) kekal, tetapi kini sebaliknya terutama selepas pulang tanpa sebarang pingat. Tambahan pula Karim sudah lebih 25 tahun berada dalam KOM, maka saya berpendapat sudah tiba masa untuk beri laluan kepada orang lain membawa pembaharuan,” kata Muthu.

Pada Sukan Asia, olahraga tanpa sebarang pingat, selain gagal mencipta rekod kebangsaan menerusi beberapa atlet yang berada di bawah Program Podium, antaranya adalah Nauraj Singh Randhawa (lompat tinggi), Muhammad Hakimi Ismail (lompat kijang) dan Muhammad Irfan Shamsuddin (lempar cakera).

Muthu yang juga Timbalan Presiden KOM memberitau, dia bertanding jawatan Presiden kerana permintaan beberapa pihak yang inginkan pembaharuan.

Tambahnya, dia wajar diberikan peluang untuk memimpin KOM, malah sudah merangka beberapa pembaharuan terutama bagi meningkatkan kualiti dalam proses pencarian bakat serta menambah peluang atlet baharu menyertai kejohanan di peringkat lebih tinggi.

“Jika saya terpilih nanti saya akan cuba memimpin KOM dengan sebaiknya dan jika sepanjang pentadbiran saya gagal menjalankan fungsi dengan baik maka saya rela berundur.

“Saya juga ingin memberitahu Karim, jika dia menuduh saya tidak mempunyai kredibiliti sebagai pemimpin, mengapa dia mesti terkejut sewaktu nama saya diumumkan sebagai pencabarnya dalam pemilihan nanti,” katanya.

Selain jawatan Presiden KOM turut menjadi tumpuan dalam pemilihan AGM badan induk berkenaan pada 30 Jun ini ialah kerusi No.2 yang menyaksikan bekas presiden, Datuk Seri Dr. Shahidan Kassim akan bertanding menentang Datuk Mumtaz Jaafar. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini