LONDON – Daniel Sturridge mengakui dia enggan memikirkan masa depannya bersama Liverpool buat masa ini selepas meraih gelaran Liga Juara-Juara menumbangkan Tottenham Hotspur di pentas akhir, semalam.
Pemain kebangsaan England itu bakal tamat kontrak pada 30 Jun ini dan berkemungkinan besar ia tidak akan dilanjutkan. Ini bermakna dia bakal meinggalkan Anfield selepas enam tahun setengah selepas membuat 160 penampilan dan 67 gol.
Sturridge tidak diturunkan dalam perlawanan akhir tersebut di Madrid, namun dia tetap memainkan peranannya dalam kejayaan Eropah tersebut.
Pemain berusia 29 tahun itu, yang menjaringkan gol pertama Liverpool di pentas Eropah musim ini ketika menentang Paris Saint-Germain (PSG) mengakui segala usahanya demi menjayakan misi skuad bimbingan Jurgen Klopp kini berbayar dengan kadar sangat lumayan.
“Sudah tentu saya menyumbang. Termasuk pemain yang langsung tidak pernah diturunkan.
“Terdapat pemain yang tidak dibawa masuk biarpun duduk di bangku simpanan, tidak bermain walaupun seminit, namun mereka juga terlibat dalam kejayaan Liverpool.
“Mereka menjalani latihan bersama, menjadi pihak lawan ketika berlatih, melaksanakan tugas masing-masing, membuat pengorbanan dan cara mereka berlatih bersama semata-mata mahu memastikan mereka kekal bersedia jika diturunkan, bermakna mereka juga terlibat. Ia menakjubkan.
“Saya tidak ingin bercakap tentang perkara ini. Saya rasa saya melalui fasa yang cukup menakjubkan. Saya tidak mahu bercakap tentang musim depan atau apa-apa pun.
“Apa yang penting sekarang adalah meraikan sesuatu yang bersejarah, sesuatu yang wajar diraikan kerana kami bekerja keras yang akhirnya membuahkan hasil yang sangat lumayan,” kata Sturridge.- AGENSI










