Sindiket pemalsuan dokumen kaut RM15,000 sebulan tumpas - Utusan Malaysia

Sindiket pemalsuan dokumen kaut RM15,000 sebulan tumpas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen Malaysia Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JIMWPKL) menahan seorang lelaki warga asing serta merampas beberapa barangan yang dipercayai digunakan untuk menghasilkan dokumen palsu dalam satu serbuan di sebuah pangsapuri di Jalan Chow Kit di sini semalam.

Pengarah Imigresen Negeri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Hamidi Adam berkata, serbuan dilakukan kira-kira pukul 10 malam susulan maklumat awam yang diterima serta hasil risikan hampir sebulan oleh Unit Risikan dan Operasi Bahagian Penguat kuasa JIMWPKL.

“Dalam serbuan berkenaan, seorang lelaki warganegara Bangladesh berusia 30 tahun yang disyaki merupakan antara dalang utama sindiket ini telah berjaya ditahan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sindiket ini didapati menjadikan unit pangsapuri tersebut sebagai markas untuk memproses dan memalsukan dokumen seperti pasport, permit kerja serta I-Kad palsu yang dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Hamidi, hasil soal siasat yang dijalankan ke atas suspek yang ditahan telah berjaya mengenalpasti dua lagi warga Bangladesh terlibat dan usaha memburu kedua-dua mereka bagi membantu siasatan sedang giat dijalankan.

“Siasatan awal mendapati, sindiket ini mampu mengaut keuntungan sehingga kira-kira RM15,000 setiap bulan dengan purata tempahan yang ditawarkan secara pakej.

“Turut dirampas dalam serbuan ini adalah dua unit komputer yang mengandungi maklumat -maklumat dokumen dan pelekat keselamatan Jabatan Imigresen. tiga unit mesin pencetak serta beberapa keping cetakan dokumen-dokumen yang dipalsukan,” katanya.

Hamidi berkata, sindiket berkenaan dipercayai telah aktif beroperasi menghasilkan dokumen palsu sejak dua tahun lalu dan menyasarkan pelanggan daripada kalangan warga asing yang majoritinya adalah warganegara Bangladesh.

“Sindiket ini menyasarkan mereka yang mempunyai masalah dalam permohonan atau lanjutan permit kerja terutamanya daripada sektor pembinaan, perkhidmatan dan juga sektor perkilangan.

“Antara perkhidmatan yag ditawarkan sindiket ini adalah mengeluarkan Pasport Antarabangsa palsu, pas serta permit palsu, I-kad dan Kad Hijau Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) palsu dengan kadar bayaran sekitar RM110 sehingga RM800 bagi setiap dokumen,” jelas beliau.

Mengulas lanjut, Hamidi berkata, suspek yang dikini direman untuk siasatan lanjut disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 55D Akta Imigresen 1959/63 (pindaan 2002) dan Seksyen 56(1A)(c) akta sama dan jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda tidak kurang RM30,000 dan penjara tidak kurang lima tahun serta sebatan tidak melebihi enam sebatan.

“Kes ini juga akan disiasat di bawah Seksyen 12(1)(a) Akta Pasport 1966 kerana memiliki pasport yang dikeluarkan untuk kegunaan individu lain dan Seksyen 12(1)(a) Akta Pasport kerana memalsu, meminda atau mengubah pasport dan dokumen perjalanan.

“Operasi penguatkuasaan sebegini akan dilaksanakan secara berterusan untuk mengesan, menangkap, mendakwa dan mengusir warga asing yang melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-peratuan Imigresen 1963 serta Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007,” tegas beliau. – K! ONLINE
 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini