Sindiket judi online tumpas - Utusan Malaysia

Sindiket judi online tumpas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PULAU PINANG – Satu sindiket judi online yang berpangkalan di Indonesia tumpas setelah pihak polis menyerbu empat kondominium yang dijadikan pusat operasi aktiviti haram itu di sekitar Sungai Ara dan Bayan Lepas di sini, Jumaat dan Sabtu lalu.

Dalam operasi yang dijalankan bermula pukul 10 malam Jumaat hingga 12 tengah hari Sabtu itu, polis turut menahan 16 warga Indonesia termasuk lima wanita berusia lingkungan 19 hingga 47 tahun di empat kondominium itu yang dijadikan pusat panggilan untuk aktiviti perjudian online berkenaan.

Ketua Polis negeri, Datuk T. Narenasagaran berkata, kesemua warga Indonesia yang ditahan itu merupakan operator atau pembantu pusat khidmat panggilan berkenaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, mereka yang ditahan bekerja selama 12 jam sehari mengikut shift yang mana empat pekerja akan bekerja di dalam satu shift.

“Aktiviti perjudian online ini menyasarkan pelanggan di Indonesia dan kita dapati bagi melicinkan operasi judi, satu laman web telah direka khas yang mana perisian itu dibeli dari Kemboja.

“Sindiket ini telah beroperasi dalam tempoh tiga bulan hingga setahun lalu dan mereka beroperasi di kondominium yang disewa serta mampu mengaut keuntungan sehingga RM60,000 sehari bagi setiap premis,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri, di sini hari ini.

Menurut Narenasagaran, pekerja di pusat panggilan itu memainkan peranan penting dalam mempromosikan aktiviti perjudian dalam talian menerusi mesej yang dihantar menerusi sistem pesanan ringkas (SMS) serta aplikasi WhatsApp dan Wechat yang dihantar secara rawak kepada pelanggan di Indonesia.

“Pusat ini juga berperanan menguruskan setiap transaksi keluar dan masuk wang secara dalam talian bagi aktiviti perjudian dengan menggunakan bank dari Indonesia.

“Aktiviti perjudian pertaruhan yang dianjurkan oleh sindiket ini terdiri daripada jenis poker, judi bola sepak antarabangsa, loteri 4D (dalam dan luar Indonesia) dan banyak lagi,” katanya.

Tambah beliau, dalam operasi tersebut polis merampas 26 buah komputer, 29 buah telefon bimbit, 27 buah token online banking serta sebuah laptop.

“Dalang di sebalik sindiket ini dipercayai seorang lelaki berusia 40-an yang bertugas sebagai operator di pusat panggilan ini namun siasatan lanjut masih dijalankan.

“Kesemua tangkapan ditahan di bawah Seksyen 4 (1) (c) Akta Pertaruhan 1953 dan Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1960,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini