Sindiket judi kaut untung RM2 j sebulan tumpas - Utusan Malaysia

Sindiket judi kaut untung RM2 j sebulan tumpas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Sindiket judi dalam talian didalangi warga tempatan yang mampu mengaut keuntungan sehingga RM2 juta sebulan tumpas selepas polis menyerbu dua unit kondominium mewah yang dijadikan ‘markas’ operasi judi di Bandar Utama, Petaling Jaya, dekat sini.

Dalam operasi bermula pukul 7.30 pagi yang dijalankan oleh Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Bukit Aman itu turut membawa kepada penahanan 14 warga tempatan termasuk seorang wanita berusia dalam lingkungan 18 hingga 61 tahun.

Ketua Penolong Pengarah D7 Bukit Aman, Datuk Rohaimi Md. Isa berkata, pihaknya telah menjalankan risikan selama sebulan dan mendapati sindiket itu telah beroperasi sejak setahun lalu di beberapa kawasan namun menjadikan kondominium ini sebagai pusat panggilan judi sejak dua bulan lalu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurutnya, kesemua yang ditahan dipercayai memainkan peranan sebagai pengendali serta penyelia untuk kaki judi.

“Sindiket kerap berpindah-randah bagi menyukarkan kegiatan mereka dikesan pihak berkuasa dan sering menjadikan kediaman mewah yang mempunyai kawalan ketat sebagai markas bagi memastikan kegiatan yang beroperasi 24 jam sehari itu berjalan lancar. 

“Semua pekerja terbabit akan mencari pelanggan dengan mempromosikan kegiatan perjudian mereka menerusi media sosial seperti WhatsApp dan Facebook. Soal siasat juga mendapati mereka mendapat upah sekitar RM2,400 sehingga RM4,000,” katanya ketika ditemui di lokasi serbuan, dekat sini hari ini.

Ujar Rohaimi, turut dirampas dalam serbuan ini adalah 12 set komputer serta 22 unit telefon bimbit.

Tambahnya, siasatan masih dijalankan mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini