MADRID – Bekas pemain No. 1 dunia, Maria Sharapova mengesahkan akan kembali beraksi di gelanggang tenis kompetitif selepas berehat lebih tiga bulan akibat kecederaan.
Destinasi pertama pemain berusia 32 tahun ini selepas menjalani pembedahan bahu pada Februari lalu adalah Terbuka Mallorca yang dijadual berlangsung minggu depan. Sebagai rekod, kecederaan bahu tersebut mula menghantui Sharapova sejak 2008.
“Saya begitu gembira untuk mengumumkan bahawa saya menerima tawaran wildcard untuk beraksi di Terbuka Mallorca,’ Saya ucap terima kasih kepada penganjur kerana memberi peluang yang cukup bermakna ini untuk saya kembali.
“Juga kepada penyokong saya yang sentiasa memberikan sokongan ketika saya mengharungi tempoh kecederaan yang mengecewakan sejak beberapa bulan lalu,” katanya menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan penganjur.
Selain itu, pemain yang berasal dari Rusia ini juga kerap bergelut untuk mendapatkan semula kecergasannya sejak berakhir penggantungan 15 bulan pada 2017 akibat positif doping.
“Selepas lebih seminggu menguji kecergasannya di Mallorca, Maria Sharapova membuat keputusan untuk menerima tawaran wild card kami,” kata penganjur Terbuka Mallorca menerusi satu kenyataan.
Turut dijangka beraksi di kejohanan gelanggang rumput di sini adalah juara Wimbledon, Angelique Kerber dan seorang lagi bekas pemain No. 1 dunia, Victoria Azarenka.
Kali terakhir Sharapova dilihat membuat penampilan adalah di Terbuka St. Petersburg pada penghujung Januari lalu selepas tumpas di pusingan kelompok 16 terbaik Terbuka Australia kepada juara Terbuka Perancis yang baharu ditabalkan, Ashleigh Barty. – AFP











