SKUAD Harimau Malaya perlu mencari alternatif dalam usaha meraih kemenangan selesa menjelang aksi pertama playoff kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menentang Timor Leste di Stadium Nasional, Bukit Jalil Jumaat ini.
Ketua jurulatih skuad kebangsaan Tan Cheng Hoe menjelaskan faktor padang yang tidak berada keadaan memuaskan kerana rumput terlalu panjang dan tebal menyebabkan pasukannya tidak boleh terlalu mengharapkan jaringan menerusi permainan terbuka.
Kata Cheng Hoe, antara alternatif serangan yang perlu diperkemaskan oleh pasukannya ialah menerusi set piece yang berpotensi untuk menjadi lubuk gol ketika bertemu pasukan yang menduduki ranking ke-195 itu.
“Secara jujur, kita tidak boleh terlalu mengharapkan gol menerusi open play (permainan terbuka) kerana kualiti padang tidak seperti yang kita harapkan dalam misi mempamerkan taktikal permainan yang menarik kerana rumputnya yang agak panjang dan tebal.
“Namun, saya harap ia tidak menjadi masalah buat barisan pemain saya untuk mendapatkan bekalan gol yang selesa memandangkan ketika sesi latihan juga kita turut fokus untuk meledak jaringan menerusi set pieces.
“Persefahaman dalam kalangan pemain ketika ini juga cukup bagus dan sekiranya momentum ketika menewaskan Nepal pada aksi persahabatan antarabangsa dapat dikekalkan, kita boleh meraih kemenangan,” katanya kepada pemberita semalam.
Mengulas lanjut, Cheng Hoe turut menekankan agar anak-anak buahnya tidak terlalu yakin meskipun Harimau Malaya menduduki ranking yang lebih baik berbanding Timor Leste dengan kedudukan 168 dunia kerana dalam bola sepak apa sahaja boleh berlaku.
“Saya mahu barisan pemain memberikan fokus seratus peratus dan jangan pandang rendah dengan keupayaan pasukan lawan. Justeru, saya harap musim perayaan ketika ini tidak menjejaskan tumpuan mereka.
“Apa yang pasti, ini adalah perlawanan yang cukup penting kerana misi pasukan adalah untuk melayakkan diri ke pusingan kelayakan yang seterusnya,” kata Cheng Hoe.











