MADRID – Sepanyol meneruskan penguasaan sempurna mereka dalam kelayakan Euro 2020 apabila mudah membenam Sweden 3-0 dalam aksi Kumpulan F yang berlangsung di laman sendiri awal hari ini.
Sergio Ramos dan Alvaro Morata masing-masing menyempurnakan sepakan penalti yang dihadiahkan pengadil pada minit ke-64 dan 85 sebelum Mikel Oyarzabal melengkapkan gol ketiga pada minit ke-87.
Ini kemenangan keempat berturut-turut yang dicatat Sepanyol daripada empat perlawanan peringkat kumpulan mereka untuk unggul sebagai pendahulu dengan berada lima mata di depan Sweden yang menghuni tangga kedua.
Rekod bersih Sepanyol yang dibimbing Luis Enrique ini selain kemenangan ke atas Sweden, mereka turut menewaskan Norway, Malta dan Faroe Islands sebelum ini yang berada dalam kumpulan sama.
Bagaimanapun Enrique tiada di tepi padang untuk menyaksikan kemenangan itu kerana menguruskan kes kecemasan membabitkan ahli keluarganya sejak Mac lalu dan tugasnya dipikul penolongnya, Robert Moreno.
“Kami masih boleh memperbaiki kelemahan lagi dengan pelbagai cara. Kami mahu menjadi pasukan yang sempurna kalau boleh,” kata Moreno selepas perlawanan sambil mengakui ketiadaan Enrique bukan satu isu besar buat pemain Sepanyol. – AFP










