DUNGUN – Kegembiraan sembilan beranak menziarahi saudara-mara sempena Hari Raya Aidilfitri bertukar hiba selepas kediaman mereka musnah dalam kebakaran di Taman Setia, Bandar Al-Muktafi Billah Shah dekat sini hari ini.
Kejadian kira-kira pukul 1.47 petang itu memusnahkan kira-kira 99 peratus kediaman yang diperbuat daripada kayu dengan jumlah kerugian dianggarkan mencecah RM100,000.
Seorang ahli keluarga, Mohd. Rafiq Rasdi, 26, berkata, ketika kejadian kesemua mereka dalam perjalanan ke rumah saudara di Paka sebelum dikejutkan dengan panggilan rakannya yang memaklumkan mengenai insiden tersebut.
“Saya beritahu kepada semua ahli keluarga tentang kebakaran itu dan kami semua berpatah balik ke rumah.
“Luluh hati ini melihat rumah yang menjadi tempat kami membesar sejak 30 tahun lalu hangus dan kami tidak mampu nak buat apa-apa disebabkan api terlalu besar,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Menurut Mohd. Rafiq, kesedihan mereka sekeluarga berganda kerana kesemua harta benda termasuk pakaian dan kelengkapan lain untuk menyambut Aidilfitri musnah dalam kebakaran itu.
Bagaimanapun, dia bersyukur kerana tiada ahli keluarganya yang cedera kerana kesemua mereka keluar dan mengganggap kejadian tersebut sebagai pengalaman yang mungkin tidak mungkin dilupakan sampai bila-bila.
Sementara itu, jiran mangsa, Mohd. Arif Anas, 29, berkata, kebakaran tersebut disedari oleh bapanya selepas ternampak api di kediaman yang terletak kira-kira 10 meter dari rumah mereka.
Katanya, ketika itu berlangsung kenduri kesyukuran sempena perkahwinan adik lelakinya dan tiba-tiba terdengar jeritan bapanya mengenai api di rumah jiran.
“Saya terus menghubungi talian kecemasan sebelum pergi ke rumah itu untuk menyelamatkan beberapa barangan bersama jiran lain,” katanya.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Al-Muktafi Billah Shah, Zul Azman Jamaludin berkata, pihaknya dengan kekuatan tujuh anggota bersama satu jentera dan sebuah ambulan Unit Kecemasan Perkhidmatan Penyelamat Perubatan (EMRS) bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan pada pukul 1.52 petang.
Katanya, kebakaran telah memusnahkan kira-kira 80 peratus kediaman tersebut setibanya bomba di lokasi kejadian dan api berjaya dipadamkan sepenuhnya pada pukul 2.58 petang.
“Punca kebakaran dan kerugian masih dalam siasatan,” katanya ketika dihubungi. – UTUSAN ONLINE











