LANGKAWI – Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, masalah penempatan di Bukit Malut, di sini perlu diselesaikan terlebih dahulu sekaligus dilihat mampu menangani isu sosial termasuk berkaitan penyalahgunaan dadah.
Menurut Perdana Menteri, penduduk di situ yang bukan warga tempatan perlu ditempatkan dalam rumah yang lebih teratur dan sempurna.
Beliau berkata, penempatan setinggan di kawasan itu menyebabkan pemandangan di Pulau Langkawi yang terkenal sebagai pulau pelancongan menjadi tidak elok.
“Kita tahu ini (mereka) bukan penduduk tempatan, mereka datang dari tempat lain dan tiada rumah (sebelum) mereka mendirikan rumah sendiri sehingga menjadi rumah setinggan yang jadi tidak elok.
“Kita akan buat perancangan untuk menempatkan mereka dalam rumah yang lebih sempurna. Kalau kita dapat betulkan rumah kita akan dapat selesaikan masalah sosial di situ (termasuk dadah) kerana sekarang ini kita nak masuk rumah pun susah,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Langkawi berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Parlimen Langkawi di Kompleks Sukan LADA, di sini hari ini.
Yang turut hadir, isteri Perdana Menteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohamed Ali; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuah, Firdaus Ahmad dan ADUN Ayer Hangat, Johari Bulat.
Dr. Mahathir berkata, timbalannya, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail baru-baru ini juga telah mengeluarkan kenyataan untuk menyusun semula penempatan di situ dengan mengadakan pelan yang lebih teratur.
Bukit Malut yang terletak kira-kira 20 kilometer dari pekan Kuah antara kawasan yang dipercayai menjadi lubuk penyalahgunaan dadah di Pulau Langkawi.
Pada 23 Jun lalu, Mingguan Malaysia dalam temubual eksklusif bersama Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador melaporkan, tidak mustahil pulau peranginan terkenal itu menjadi ‘gedung’ dadah suatu hari nanti jika lambakan bahan terlarang itu tidak dibanteras segera.
Menurut Abdul Hamid, Dr. Mahathir secara peribadi turut menyuarakan kebimbangan ancaman dadah di Langkawi yang dilihat seolah-olah tidak terkawal. – UTUSAN ONLINE










