PETALING JAYA – Sektor elektrik dan elektronik (E&E) Malaysia perlu merebut peluang yang timbul daripada peningkatan perang perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China untuk mengembangkan lagi industri tersebut, kata Persatuan Industri Komputer dan Multimedia Malaysia (Pikom).
Pengerusinya, Ganesh Kumar Bangah berkata, seperti dalam mana-mana perang perdagangan, terdapat peluang yang tidak boleh dilepaskan, terutamanya dari segi pelaburan.
“Sudah sampai masanya bagi Malaysia untuk memanfaatkan peluang itu…jadi kita perlu ada usaha dan strategi bersepadu untuk menarik pelaburan asing masuk ke dalam negara,” katanya pada sidang akhbar, di sini, hari ini.
Persatuan itu hari ini mengumumkan penjenamaan semula Outsourcing Malaysia, yang kini dirujuk sebagai OM.
OM adalah inisiatif industri Perkhidmatan Perniagaan Global dan merupakan sebahagian daripada Pikom.
Menjelas lebih lanjut, Ganesh berkata ekoran daripada perang teknologi, Apple mengumumkan ia bercadang mahu mencari negara baharu bagi menjadi hos kemudahan pembuatan baharunya di luar China, dengan Malaysia menjadi antara negara yang berpotensi.
Menurut Nomura Global Markets Research dalam laporan 50 muka suratnya, Malaysia adalah penerima keempat terbesar daripada lencongan perdagangan yang berpunca daripada perang perdagangan yang menyebabkan dua gergasi kompetitif itu mencari alternatif import.
Selain Malaysia, firma penyelidikan itu juga mengenal pasti Vietnam, Taiwan, Chile dan Argentina sebagai antara penerima terbesar daripada lencongan perdagangan.
Sementara itu, Pengerusi OM Cheah Kok Hoong yang sependapat dengan Ganesh menggesa kerajaan Malaysia bekerjasama dengan negara anggota ASEAN lain untuk membawa masuk lebih banyak pelaburan.
“Terdapat perkara-perkara yang kerajaan ASEAN perlu teliti, terutamanya dari segi dasar yang melibatkan permit bekerja dan visa untuk memudahkan lagi usaha menjalankan perniagaan di rantau ini,” katanya.
Cheah juga berkongsi bahawa prospek perkhidmatan global Malaysia berjumlah sekitar US$7 bilion atau anggaran RM28 bilion, meningkat daripada unjuran OM sebelum ini sebanyak US$4.7 bilion.
“Syarikat multinational mahu membawa masuk pelaburan ke Malaysia kerana kos arbitraj di sini rendah selain prasarana lengkap, kesalinghubungan rangkaian, masyarakat yang fasih pelbagai bahasa dan sudah tentunya insentif kerajaan dan agensi-agensinya.
“Semua ini adalah instrumen untuk menarik pelabur ke negara ini,” katanya. – BERNAMA











