PULAU PINANG – Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) negeri menggesa kerajaan segera mengikut jejak langkah kerajaan Singapura dan Kemboja mengharamkan penggunaan rokok elektronik (e-rokok) dan vape dalam kalangan rakyat.
Pengerusinya, Datuk Seri Dr. T Devaraj berkata, meskipun terdapat pertikaian dari sudut kandungan tar di dalam produk itu seperti yang terkandung di dalam rokok, namun penggunaannya tetap mengundang risiko kesihatan khususnya penyakit kanser.
Malah, lebih membimbangkan, tambah beliau, cecair di dalam e-rokok dan vape itu juga dikhuatiri dicampur bahan kimia lain termasuk dadah sekali gus meningkatkan ancaman serta risiko kesihatan terhadap penggunanya.

“Penggunaan e-rokok dan vape menjadi trend kerana orang ramai beranggapan kandungannya hanyalah nikotin yang menyebabkan ketagihan, bukannya tar yang menyebabkan kanser.
“Tetapi hakikatnya kandungan produk ini tidak jelas, malah tiada bukti penggunaannya adalah selamat apatah lagi jika diambil dalam tempoh yang panjang dan berterusan,” katanya.
Beliau ditemui pemberita pada majlis pelancaran program Relay For Life Penang 2019 di Rumah Hospis Pulau Pinang, Air Itam di sini hari ini yang turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Uban, A. Kumaresan.
Sebelum ini, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) melahirkan rasa bimbang dengan budaya penggunaan e-rokok dan vape terutama dalam kalangan pelajar termasuk remaja perempuan yang semakin menjadi kebiasaan.
Malah, CAP turut mempersoalkan bagaimana produk itu boleh dijual secara berleluasa tanpa kawalan pihak berkuasa pada harga murah sehingga boleh dibeli dengan mudah termasuk dalam kalangan pelajar.
Dalam pada itu, Devaraj berkata, pihaknya bersama beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kerajaan sebelum ini pernah beberapa kali mendesak kerajaan mengharamkan e-rokok dan vape namun tiasa sebarang tindakan sehingga kini. – UTUSAN ONLINE











