KUALA LUMPUR – PKR berpuas hati dengan perancangan peralihan jawatan Perdana Menteri seperti mana termaktub dalam dokumen Muafakat Pakatan Harapan yang telah disepakati oleh kesemua pimpinan utama.
Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Majlis Pimpinan Pusat PKR yang bermesyuarat hari ini juga memutuskan untuk terus memberikan sokongan terhadap kepemimpinan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad antara lain untuk memacu ekonomi negara.
“PKR menegaskan sokongan terhadap kepemimpinan Dr. Mahathir untuk meneruskan usaha beliau dan jemaah menteri memacu ekonomi, melaksana reformasi institusi dan menjamin keselamatan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat PKR di ibu pejabat parti tersebut di Petaling Jaya dekat sini hari ini.
Ditanya keperluan untuk PKR menyatakan pendirian tersebut ketika situasi politik semasa ketika ini, Anwar menjelaskan ia adalah sebagai menjawab segala persoalan yang berterusan timbul menganai isu peralihan tersebut.
“Ekoran persoalan-persoalan yang berterusan dan mengenai peralihan ini, kami perlu untuk menyatakan semula pendirian kita dan menyatakan puas hati dengan proses transisi ini.
“Saya juga tiada keraguan mengenai peralihan ini dan bagi saya perkara ini telah dipersetujui,” katanya-UTUSAN ONLINE











