LONDON – Lucas Torreira menamatkan spekulasi perpindahannya ke AC Milan dengan menegaskan dia gembira di Arsenal walaupun berdepan kesukaran untuk menyesuaikan diri.
Torreira menyertai Gunners musim lalu dari Sampdoria dengan nilai perpindahan 26 juta pound (RM136.84 juta).
Dia menikmati musim cemerlang di England dan corak permainannya memenuhi keperluan Arsenal.
Bagaimanapun, Milan dilaporkan berminat untuk mendapatkan pemain Uruguay itu dan dia mendedahkan bahawa dia lebih selesa berada di Itali berbanding England.
Pemain berusia 23 tahun itu enggan terlalu tergesa-gesa berpindah.
“Saya tidak pasti sejauh mana minat Milan terhadap saya.
“Perkara ini menjadi perbualan kerana kenyataan saya di Montevideo.
“Tiada sesiapa dari Milan menghubungi saya. Saya bersama Arsenal, pasukan terhebat di dunia.
“Keadaan memang sukar buat saya. Saya datang dari bandar kecil dan kini berada di Liga Perdana Inggeris tetapi saya berbangga menjadi sebahagian daripada Arsenal.
“Saya pernah membuat kenayataan mengenai kesukaran menyesuaikan diri di England kerana bukan mudah untuk berada di sesebuah negara baharu dengan saya tidak tahu bahasa mereka, sukar untuk bercakap dengan rakan sepasukan,” katanya.-AGENSI











