Saya dipanggil Imam Abdul Rahman Al Kalantani - Utusan Malaysia

Saya dipanggil Imam Abdul Rahman Al Kalantani

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU – Dek kerana minatnya dengan bumi Kelantan dan Malaysia, seorang imam tarawih dari Arab Saudi mendapat jolokan ‘Al Kalantani’ di hujung nama dan disapa dengan nama itu setiap kali pulang ke negara asal.

Imam dari Riyadh, Arab Saudi itu, Syeikh Abdul Rahman Abdul Latif Al Mahmud berkata, sudah tiga tahun berturut-turut beliau bertugas di negeri ini sebagai imam tarawih yang dihantar kerajaan negara itu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Malah, kasihnya kepada negeri ini terbukti apabila dia berjaya mengumpulkan dana daripada keluarganya di Arab Saudi khususnya ibu saudara untuk pembinaan sebuah surau bernilai RM70,000 di Kampung Pulau Belanga di sini.

“Saya sangat suka penduduk Kelantan, suka kepada masjid-masjidnya. Negeri ini negeri ini yang baik dan penuh berkat.

“Seperti saya selalu katakan kepada sesiapapun, Kelantan khususnya dan Malaysia amnya adalah contoh negeri ‘baldatun tayyibah wa rabbun ghafur’, negeri yang makmur dan mendapat pengampunan Allah.

“Pada tahun ini, saya memohon secara khusus supaya dihantar ke negeri Kelantan untuk berkhidmat sepanjang Ramadan,” katanya selepas bertemu Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah di Kompleks Kota Darulnaim di sini hari ini.

Abdul Rahman berkata, dia bertugas setiap malam di pelbagai masjid seluruh daerah di negeri ini termasuk Jeli dan perkampungan Orang Asli di Gua Musang sepanjang bulan Ramadan ini.

Imam ini yang berahsia mengenai umurnya berkata, dia tidak bermasalah untuk makan makanan tempatan dan menggemari lauk ikan, tom yam dan kuih akok.

“Saya boleh ingat beberapa perkataan mudah Melayu seperti akok, keluar dan tandas,” katanya lagi.

Sementara itu, Mohd Amar berkata, sejak tujuh tahun lalu Kerajaan Arab Saudi menghantar imam tarawih bertugas di negeri ini yang ditanggung sepenuhnya oleh negara itu. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini