SUNGAI PETANI – Kegembiraan enam sekeluarga dalam perjalanan pulang berhari raya berakhir duka apabila mereka terlibat dalam kemalangan di Kilometer 81.9 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah utara, di sini hari ini.
Dalam kejadian pada pukul 2.40 petang itu, kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Wish dinaiki keluarga tersebut dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan merempuh penghadang besi jalan.
Nahas mengakibatkan Azli Jaafar, 54, yang duduk di tempat penumpang hadapan meninggal dunia di tempat kejadian manakala isterinya, Norpishah Ahmad, 54, dan empat anak mangsa berusia antara 20 hingga 28 tahun cedera.
Anak lelaki mangsa, Muhammad Asyraf, 28, yang merupakan penuntut Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) memandu kenderaan terbabit dan hanya mengalami luka-luka kecil di tangan.
Keluarga terbabit dipercayai dalam perjalanan dari Shah Alam, Selangor ke Anak Bukit, Alor Setar, dekat sini.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, siasatan awal mendapati kenderaan itu dipercayai dipandu dalam keadaan mengantuk dan laju sehingga hilang kawalan dan terbabas di tempat kejadian.
“Kesan kemalangan tersebut mengakibatkan mangsa yang merupakan penumpang hadapan maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada kepala dan bahagian dalaman badan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Adzli, mayat mangsa dan mereka yang cedera dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar untuk bedah siasat dan menerima rawatan lanjut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN ONLINE











