PUTRAJAYA- Sasuke Premium Outlet dengan kerjasama Kidness Malaysia berjaya mengumpul dana sebanyak RM11,314 melalui program Sasucare yang diadakan baru-baru ini.
Pengarahnya, Nurul Suhaida Abu Sopian berkata, program itu merupakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) pihaknya bagi membantu tiga rumah kebajikan yang terpilih.
Beliau berkata, kutipan dana itu bermula pada Mac hingga Mei lalu di semua cawangan Sasuke Premium Outlet dengan RM1 daripada setiap pembelian RM30 akan didermakan kepada Sasucare.
“Dana itu telah diagihkan sebanyak RM4,773 kepada Rumah Anak Autisme pada April lalu, RM3,300 pula disumbangkan kepada Rumah Titian Kasih pada bulan Ramadan.
“Baki sebanyak RM3,241 pula diserahkan pada Jumaat lalu kepada Rumah Jagaan dan Rawatan Al-Ikhlas semasa sambutan Hari Raya Aidilfitri Sasuke Premium Outlet,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Menurut Nurul Suhaida, selain penghuni Rumah Jagaan dan Rawatan Al-Ikhlas, turut diraikan dalam sambutan hari raya itu ialah penghuni Rumah Anak Autisme dan Rumah Titian Kasih.
“Terima kasih kepada pelanggan yang menjayakan program Sasucare. Pada masa akan datang, kami akan anjurkan lagi untuk membantu golongan yang memerlukan,” katanya.
Sambutan Hari Raya Aidilfitri Sasuke Premium Outlet turut diserikan dengan kehadiran artis seperti Tauke Raja Lawak, Zain Saidin, Sharnaz Ahmad dan Datuk Hattan.-UTUSAN ONLINE











