SAR dihentikan, 4 mayat dikeluarkan - Utusan Malaysia

SAR dihentikan, 4 mayat dikeluarkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PULAU PINANG – Kesemua mayat empat warga asing yang tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di tapak binaan tembok penahan tanah di Lost Paradise Resort, Jalan Batu Feringghi, Tanjung Bungah di sini berjaya dibawa keluarkan awal pagi tadi.

Sehubungan itu, operasi mencari dan menyelamat mangsa (SAR) kejadian yang berlaku 9.25 malam tadi dihentikan selepas mayat terakhir berjaya dikeluarkan kira-kira pukul 4 pagi tadi.

Menurut Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang, keempat-empat mangsa dipercayai warga Myanmar itu berjaya dikeluarkan selepas hampir enam jam tertimbus di dalam longkang yang dipenuhi besi cerucuk.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, mayat pertama dikeluarkan pukul 1.59 pagi disusuli masing-masing mayat kedua dan ketiga pukul 2.33 pagi serta 3.10 pagi dan kesemua mayat dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk bedah siasat.

“Setakat ini, identiti kesemua mangsa belum dapat dikenal pasti kerana tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemukan pada mereka.

“Kita akan mendapatkan maklumat lanjut daripada pihak kedutaan berhubung identiti mangsa,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut Che Zaimani, tiga mayat ditemukan dalam keadaan berdiri dan masih memegang besi cerucuk manakala seorang lagi ditemukan terbaring berdekatan tiga mangsa berkenaan.

Katanya, pasukan SAR terpaksa mengambil masa untuk mengeluarkan mangsa berikutan ada mangsa yang masih tercucuk besi yang digunakan untuk membuat tembok penahan tanah tersebut.

Operasi SAR itu melibatkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia ( JBPM) Pulau Pinang,

Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM) JBPM Kedah, Polis diraja Malaysia ( PDRM ) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.

Difahamkan, kerja-kerja membina tembok penahan tanah di hotel itu sudah berlangsung sejak kira-kira seminggu lalu dan dilakukan empat warga Myanmar berkenaan yang mana salah seorangnya yang dikenali sebagai ‘Ong’ merupakan pekerja di hotel berkenaan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini