IPOH – Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri kerajaan negeri di Pekarangan Stadium Indera Mulia di sini hari ini meriah dengan dihadiri lebih 20,000 rakyat pelbagai lapisan kaum dan agama.
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim turut berkenan berangkat ke majlis tersebut.
Turut berangkat, Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Puan Besar Perak, Raja Nadzatul Shima Almarhum Sultan Idris Shah.
Berangkat sama, Raja DiHilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Almarhum Sultan Idris Shah dan Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Almarhum Sultan Abdul Halim.
Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan isteri, Datin Seri Nomee Ashikin Mohammed Radzi.
Majlis bermula pada pukul 2.30 petang dan
pengunjung menikmati pelbagai jenis juadah hari raya yang disediakan termasuk lemang dan rendang.
Pengunjung turut dihiburkan dengan persembahan artis tempatan iaitu Aris Ariwatan, Hamdan dan Wahid Senario.
Sementara itu dalam ucapannya, Ahmad Faizal
berkata, kehadiran ribuan rakyat daripada pelbagai lapisan kaum dan agama pada majlis tersebut sebagai bukti penzahiran kepada kesetiaan, ketaatan dan rasa kasih sayang terhadap baginda sultan.
Menurutnya, namun ketika rakyat negara ini
berhimpun dalam suasana yang aman dan harmoni menyambut Aidilfitri, ratusan ribu umat Islam di negara lain sedang merana akibat penindasan dan perang saudara.
Katanya, mengambil iktibar dan menginsafi
kesengsaraan yang dilalui oleh umat Islam di beberapa negara lain, seluruh rakyat wajib bersyukur dengan nikmat keamanan di negara bertuah ini.
“Di atas keinsafan ini, kerajaan negeri sentiasa menjunjung dan menyanjung titah supaya kesejahteraan ummah sentiasa terpelihara.
“Ketika kita meraikan perbezaan pandangan politik, selari dengan amalan politik matang, batasan-batasan wajib dijaga, supaya ia tidak menjadi elemen yang memecah belahkan ummah,” katanya. – UTUSAN ONLINE











