Rosmah mungkin dipanggil jadi saksi kes Najib - Utusan Malaysia

Rosmah mungkin dipanggil jadi saksi kes Najib

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa Datin Seri Rosmah Mansor mungkin akan dipanggil memberi keterangan terhadap suaminya dalam perbicaraan kes Datuk Seri Najib Tun Razak yang didakwa terlibat dalam penyelewengan dana syarikat SRC International Sdn. Bhd. berjumlah RM42 juta.

Perkara itu ditimbulkan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk V. Sithambaram selepas Rosmah memasuki dewan mahkamah yang mendengar kes suaminya itu dan duduk di galeri awam.

Rosmah ke mahkamah tersebut selepas sebutan kesnya membabitkan pertuduhan terlibat aktiviti pengubahan wang haram berjumlah RM7 juta dan lima pertuduhan gagal membuat penyata pendapatan di Mahkamah Tinggi berlainan selesai.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya inin maklumkan mahkamah yang Datin Seri Rosmah ada di mahkamah sekarang. Beliau mungkin akan dipanggil menjadi saksi malah keterangannya juga telah diambil oleh pihak berkuasa sebelum ini,” katanya.

Perkara itu turut dipersetujui peguam bela suaminya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah bahawa bakal saksi tidak boleh berada dalam dewan mahkamah.

Peguam, Datuk K. Kumaraendran yang merupakan peguam pemerhati bagi pihak Rosmah dalam perbicaraan itu memberitahu anak guamnya pernah hadir pada prosiding terdahulu dan tidak dibantah oleh mana-mana pihak.

Bagaimanapun, belum sempat Hakim Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali membuat sebarang keputusan mengenai kehadirannya itu, Rosmah dilihat bangun dan mengangkat tangannya kepada peguamnya seolah-olah mengatakan `tidak apa’ dan keluar dari dewan mahkamah.

Pada hari pertama perbicaraan kes itu, Peguam Negara, Tommy Thomas dalam ucapan pembukaannya memberitahu pihak pendakwaan akan membuktikan bahawa dana yang didakwa diseleweng dari syarikat SRC International telah digunakan untuk pelbagai tujuan termasuk pembelian barangan mewah di buktik ekslusif, Chanel di Honolulu, Hawaii. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini