LONDON – Beberapa hari selepas Liverpool merangkul trofi Liga Juara-Juara, bintang Portugal, Cristiano Ronaldo memilih bek tengah Reds, Virgil van Dijk sebagai pemain terbaik untuk memenangi anugerah Ballon d’Or 2019.
Van Dijk bukan sahaja cemerlang membantu Liverpool menumpaskan Tottenham 2-0 dalam final, Sabtu lalu, malah memainkan peranan besar buat pasukannya sepanjang musim ini.
Menurut majalah sukan mingguan Sepanyol, Don Balon, ketika menonton perlawanan itu, Ronaldo pada masa sama menghantar beberapa teks dalam grup WhatsApp bekas pasukannya, Real Madrid.
Dia memberitahu rakan-rakannya Van Dijk akan membawa pulang Ballon d’Or dengan menewaskan Lionel Messi, sama seperti yang dilakukan bintang Croatia, Luka Modric tahun lalu.
Ronaldo juga memberitahu mereka, Messi perlu menjuarai Copa America bersama Argentina jika mahu dinobat sebagai Pemain Terbaik Dunia, terutama selepas kekalahan memalukan 0-4 Barcelona kepada Liverpool pada separuh akhir Liga Juara-Juara, bulan lalu.
Ronaldo dan Messi memegang rekod pemenang terbanyak Ballon d’Or masing-masing dengan lima gelaran.
Selain Ronaldo, jurulatih Belanda, Ronald Koeman; bekas pengurus Manchester United dan Real, Jose Mourinho serta legenda Liverpool, John Barnes turut memilih Van Dijk untuk memenangi anugerah tahun ini.
Pemain pertahanan jarang meraih pengiktirafan individu, namun Van Dijk berjaya menjadi pertahanan pertama dipilih sebagai Pemain Terbaik Persatuan Pemain Profesional (PFA) England sejak John Terry pada 2005. – AGENSI











