KISAH mereka bermula selepas perkenalan kumpulan Al-Farabi dengan Ustaz Dr. Mohd Ashraf Suarin, kira-kira enam tahun lalu ketika mereka membuat persembahan di sebuah acara di ibu kota.
Menurut ketua kumpulan, Nazri Alias, Pengetua Pondok Motivasi Tahfiz Hamlatul Quran (PMTHQ) tersebut terpanggil mahu mendekati mereka kerana melihat ada penonton bukan Islam turut menonton ketika itu.
“Ustaz tengok persembahan kami dan dia terkejut dengan imej Al-Farabi yang berserban, pemain bass pula perempuan dan muzik kami yang bergenre Rock.
“Kebetulan ketika itu ada dalam kalangan penonton bukan Muslim datang tengok persembahan kami di situ.
“Jadi dia nampak kami berbeza sekali gus dapat menarik minat penganut agama lain. Secara tidak langsung dapat sampaikan mesej yang kami bawakan,” katanya mewakili anggota lain ketika ditemui Pancaindera di PMTHQ, Tanjung Karang, Selangor baru-baru ini.
Sejak itu, mereka sering diundang berkunjung ke pondok tersebut dan diminta mengajar pelajar di pondoknya kemahiran bermain alat muzik. Tiap kali ada kelapangan, kami akan datang ke sini untuk menghiburkan mereka.
“Tetapi dalam masa sama Ustaz minta kami mengajar muzik dan berkongsi mengenai pengalaman bagaimana kami berdakwah dengan cara begini,” tambahnya.
Suntik semangat
Meskipun pernah menerima tanggapan negatif oleh sesetengah pihak satu ketika dahulu dek kerana imej dan muzik yang mereka bawa, namun Al-Farabi kini lega kerana kehadiran mereka semakin membuka mata dalam kalangan masyarakat.
Justeru ketika ditawarkan menjadi pengajar muzik di samping berkongsi pengalaman kepada penghuni, mereka menerima dengan senang hati.
Bukan itu saja mereka turut berniat membantu mengembalikan semula semangat anak-anak di pondok itu kerana sebahagiannya kurang bernasib baik.
“Kami kagum dengan Ustaz atas usaha membina pondok ini serta menjaga dan mendidik pelajar. Ada antara mereka yang bernasib malang malah tidak pernah mendapat kasih sayang keluarga.
“Namun mereka bukan saja dididik cinta pada al-Quran tetapi tentang kehidupan. Jadi apabila Ustaz minta ajarkan mereka bermain alat muzik seperti gitar, kami tidak mahu sia-siakan peluang ini.
“Di samping menghiburkan, Al-Farabi mahu memberi suntikan semangat kepada mereka menerusi lagu-lagu kami. Walaupun mereka didedahkan dengan kemahiran bermain muzik tetap al-Quran tetap tidak dilupakan,” tambah Nazri.
Selain Nazri, kumpulan yang ditubuhkan pada 2009 ini dilengkapi empat lagi anggota iaitu Fazrina Ghazali atau Rina (bass), Kamarul Borhan (gitar dan vokal), Nasaie Nawawi (vokalis) serta Adie Wadi Ahmad (dram).











